Duit makan tinggal RM50, lelaki gaji RM6,000 menyesal beli motor BMW

Duit makan tinggal RM50, lelaki gaji RM6,000 menyesal beli motor BMW

 

Di sebalik penampilan segak dan bergaya, pastinya ada pengorbanan dan ‘harga’ yang terpaksa dibayar.

Begitulah yang terpaksa dilalui seorang pemuda gara-gara mahu ‘melaram’ dengan motosikal berkuasa tinggi.

Usianya baru 26 tahun, tapi gajinya sudah mencecah RM6,000.

Namun menerusi satu luahan secara terbuka di media sosial, kemahuannya untuk memiliki sebuah  superbike semakin membuak-buak selepas mula terjebak dengan ‘hobi mahal’ itu.

Akhirnya dia mendapatkan superbike model BMW dan difahamkan harga pasarannya bermula daripada RM129,500.

“Penyesalan. Betul la orang kata, superbike ni untuk hobi orang kaya.

“Sekarang baru tengah bulan, lepas renew cukai jalan, servis apa semua, duit makan pun tinggal RM50,” luahnya di laman X.

Dia bagaimanapun menyedari apa yang dibelanjakan itu bukan satu keperluan.

Dengan duit yang berbaki sedikit itu, dia bagaimanapun tidak pasti sama ada mampu bertahan atau tidak sehingga ke hari gaji seterusnya.

“Tak tahu boleh survive sampai hujung bulan ni ke tak,” katanya dalam kebuntuan.

Menerusi ruangan ciapan balas, rata-rata netizen terkejut dengan tindakannya yang disifatkan sebagai silap percaturan dan diibaratkan tidak ukur baju di badan sendiri.

Segelintirnya menyifatkan hanya mereka yang kerja bukan makan gaji dan mempunyai pendapatan minimum lima angka layak melakukan hobi semahal itu.

“Biar papa asal bergaya.

“Gaji RM6 pun tak cukup. Bukan salah superbike tu, tapi salah pengurusan kewangan.

“Dah kau ambil superbike yang T20 buat apa? Banyak lagi superbike B40 kau boleh ambil.

“Bagilah gaji berapa pun, memang tak cukup kalau boros, tak pandai urus wang. Gaji tinggi, gaya hidup pun tinggi, memang tak cukup,” demikian antara komen netizen.

Enggan merendahkan semangat atau motivasi pemuda berkenaan, segelintir netizen memberikan cadangan bagi menangani masalahnya.

“Secara logiknya RM50 tak lepas sampai hujung bulan. Tapi kalau pinjam atau pakai simpanan boleh je.

“Jual jelah, jalan terbaik kalau dah membebankan tu,” komen netizen.