Dua soalan ini lebih penting berbanding resume semasa temuduga kerja

Dua soalan ini lebih penting berbanding resume semasa temuduga kerja
Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif, ramai calon berusaha memperkemas resume mereka dengan pelbagai pengalaman dan kemahiran bagi menarik perhatian majikan.
Namun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Indeed, Chris Hyams, terdapat dua soalan yang lebih penting daripada resume semasa sesi temu duga kerja.
Hyams, yang mengetuai Indeed sejak 2019, mempunyai pendekatan ‘unik’ dalam menilai calon pekerja.
Beliau menyatakan bahawa apabila seseorang calon sampai ke peringkat temu duga dengannya, mereka sudah melalui proses saringan oleh pemimpin lain dalam syarikat.
Oleh itu, beliau lebih cenderung untuk mengajukan soalan yang berkaitan dengan keperibadian dan cara pemikiran individu berbanding pengalaman kerja semata-mata.
“Semakin lama saya melakukan ini, semakin kurang saya menitikberatkan pengetahuan atau pengalaman tertentu.
“Apa yang paling penting ialah sifat ingin tahu dan kebolehan menyesuaikan diri, bukan semata-mata apa yang telah anda lakukan sebelum ini,” katanya.
Untuk menilai dua kemahiran tersebut, Hyams sering mengajukan dua soalan penting dalam setiap temu duga.
1. “Apa yang benar-benar membuat anda rasa ingin tahu?” atau “Apa perkara yang anda benar-benar ambil berat?”
2. “Ceritakan satu kisah ketika anda benar-benar yakin dengan sesuatu tetapi kemudian menyedari bahawa anda salah.”
Menariknya, jawapan kepada soalan-soalan ini tidak semestinya berkaitan dengan pekerjaan.
Malah, Hyams lebih berminat jika calon berkongsi tentang sesuatu di luar dunia kerja.
“Saya lebih tertarik jika ia bukan sesuatu yang berkaitan dengan kerja.
“Jika seseorang boleh bercakap selama 45 minit mengenai bagaimana mereka bereksperimen dengan 57 resipi roti sourdough yang berbeza, suhu dan tahap kelembapan – itu menunjukkan tahap ingin tahu yang mendalam,” katanya.
Ini membuktikan bahawa seseorang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap sesuatu perkara menunjukkan keupayaan mereka untuk meneroka dan jatuh cinta dengan perkara lain, termasuk kerja yang mereka lakukan.