Dua ‘red flags’ calon dalam sesi interview

Dua ‘red flags’ calon dalam sesi interview
Seorang usahawan berpengalaman dalam dunia perniagaan, David Royce, berkongsi dua “red flags” yang sering membuatkan beliau meragui kesesuaian calon semasa temu duga kerja.
Dalam menilai calon pekerja, beliau melihat kepada faktor seperti daya tarikan, semangat dan keupayaan calon untuk memberi inspirasi kepada orang sekeliling.
Namun, terdapat juga dua perkara yang menjadi “red flags” buatnya.
1. Sejarah pekerjaan yang ‘singkat’ dan tidak konsisten
Menurut Royce, jika seseorang calon mempunyai rekod pekerjaan yang hanya bertahan antara enam hingga 12 bulan bagi setiap jawatan terdahulu, ia boleh menjadi petanda masalah.
Beliau mengakui bahawa ada pelbagai sebab seseorang meninggalkan pekerjaan dalam tempoh singkat, termasuk tawaran lebih baik atau persekitaran kerja yang toksik.
Malah, ketidaktentuan pasaran buruh dan pemberhentian pekerja besar-besaran, terutamanya dalam sektor teknologi, juga menyebabkan ramai terpaksa mencari kerja baru dengan segera.
Namun, jika corak ini berulang dalam sejarah pekerjaan seseorang, ia bakal menimbulkan keraguan.
“Saya akan tertanya-tanya sama ada individu ini mudah bosan atau tidak dapat menyesuaikan diri dengan pasukan kerja,” katanya.
Lebih membimbangkan, Royce menjelaskan bahawa calon sebegini mungkin hanya akan bertahan dalam syarikatnya untuk tempoh yang sama sebelum mencari pekerjaan lain.
“Ini bermakna majikan perlu mengulangi proses temu duga dan pengambilan pekerja dalam masa yang singkat,” tambahnya.
2. Sikap terlalu negatif terhadap majikan lama
Satu lagi “red flags” yang Royce ambil kira ialah cara calon bercakap mengenai bekas majikan mereka.
Beliau menjelaskan bahawa adalah perkara biasa bagi seseorang untuk mempunyai pengalaman positif dan negatif di tempat kerja terdahulu.
Namun, jika calon terlalu menekankan aspek negatif dan sering menyalahkan bekas majikan, ini menunjukkan kemungkinan masalah berpunca daripada calon itu sendiri.
“Orang sebegini boleh merosakkan budaya kerja dan menjatuhkan semangat pasukan. Mereka juga boleh menyebabkan pekerja terbaik memilih untuk meninggalkan syarikat,” katanya.
Sebagai majikan, Royce mencari pekerja yang mempunyai sikap positif dan sentiasa berusaha mencari penyelesaian serta peluang penambahbaikan.
“Inilah ciri pekerja yang boleh berjaya dan membantu syarikat terus berkembang,” ujarnya.
Untuk info, Royce telah mengasaskan atau menjadi rakan pengasas kepada tiga syarikat dalam industri kawalan serangga.
Salah satunya ialah Aptive Environmental yang ditubuhkan pada 2015.
Syarikat ini kini beroperasi di lebih 5,000 bandar dan pada 2024, sebuah firma ekuiti swasta memperoleh pegangan besar dalam perniagaan tersebut.
Ketika ini, Royce sedang bercuti sabatikal bagi mempertimbangkan langkah seterusnya dalam kerjayanya.