Pendedahan dokumen sulit AS dakwa CIA miliki dua pejabat rahsia di Malaysia

Pendedahan dokumen sulit AS dakwa CIA miliki dua pejabat rahsia di Malaysia
Baru-baru ini, ribuan dokumen rahsia berkaitan pembunuhan Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy (JFK), telah didedahkan kepada umum, pendedahan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) pernah mempunyai dua Pejabat Medan di Malaysia – satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Kuching, Sarawak, lapor MyNewsHub
Difahamkan bahawa ini adalah sebahagian daripada rangkaian global CIA yang merangkumi 84 buah negara.
Menurut dokumen yang dinyahklasifikasikan, pejabat-pejabat ini adalah sebahagian daripada operasi perisikan CIA pada masa lalu.
Walaupun butiran spesifik mengenai aktiviti mereka di Malaysia tidak didedahkan sepenuhnya, pendedahan ini menunjukkan betapa pentingnya Malaysia dari sudut strategik perisikan global.
Dokumen-dokumen ini adalah sebahagian daripada ribuan fail yang dikaitkan dengan pembunuhan JFK pada tahun 1963.
Pada 17 Disember 2022, AS mendedahkan 13,173 dokumen berkaitan kes tersebut, namun sebahagian maklumat masih dirahsiakan atas alasan keselamatan negara.
Kemudian, pada 11 Februari 2025, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan ribuan dokumen tambahan yang sebelum ini tidak pernah dikongsi dengan umum.
Pendedahan ini memberi gambaran baharu tentang peranan Malaysia dalam jaringan perisikan global CIA.
Walaupun Malaysia mungkin dilihat sebagai sebuah negara kecil di rantau Asia Tenggara, lokasi geografinya yang strategik menjadikannya titik penting untuk operasi perisikan, terutama semasa era Perang Dingin.
Pejabat di Kuala Lumpur, sebagai ibu negara, mungkin terlibat dalam operasi perisikan diplomatik dan politik, manakala pejabat di Kuching, Sarawak, mungkin memainkan peranan dalam memantau aktiviti di Borneo, terutama semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia pada tahun 1960-an.
Walaupun banyak dokumen telah didedahkan, sebahagian maklumat masih disunting atau dirahsiakan.
Ini termasuk butiran operasi khusus, nama-nama individu yang terlibat, dan sumber perisikan.
Kerahsiaan ini mungkin untuk melindungi keselamatan negara atau individu yang masih hidup.
Pendedahan ini telah menimbulkan persoalan di kalangan netizen di media sosial tentang hubungan diplomatik antara Malaysia dan AS pada masa lalu.
Adakah kerajaan Malaysia pada waktu itu menyedari kewujudan pejabat-pejabat ini? Jika ya, sejauh mana kerjasama yang berlaku?
Sumber: Vocket