Dua maut, tiga cedera nahas 2 kenderaan

Dua maut, tiga cedera nahas 2 kenderaan

 

Dua warga emas maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan Perodua Kelisa dan van pekerja di Kilometer (KM) 10 Jalan Beruas-Ipoh, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian 9.05 pagi itu, pemandu Perodua Kelisa, Fatimah Mohd Ali, 64, dan penumpang belakang, Mohd Ibrahim Md Deram, 77, meninggal dunia di lokasi, sementara penumpang lain kereta itu, Osman Azmi Chulan, 70, dan Fazlina Mohd Ibrahim, 53, parah.

Turut cedera pemandu van yang berusia 35 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintenden Chong Boo Khim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta berkenaan dalam perjalanan dari Simpang Tiga, Parit menghala ke Beruas.

“Apabila tiba di lokasi, van pekerja dipandu wanita dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan kereta mangsa.

“Disebabkan jarak yang dekat, pemandu kereta tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran yang menyebabkan pemandu dan seorang penumpang kereta maut,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis dan dihantar ke Hospital Seri Manjung.

Menurutnya, mangsa cedera juga dirawat di hospital sama dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.