Dua beradik maut dalam perjalanan ziarah kubur bapa, ‘terhentam’ tong roro tepi jalan
Dua beradik maut selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh tong sampah ‘roro’ di tepi jalan di Lebuh SPA dekat Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, Muhammad Amirul Hazlin,18, dan adiknya Nur Afiqah Sofea, 5, dalam perjalanan untuk menziarahi pusara bapa mereka yang meninggal dunia 10 bulan lalu, lapor Sinar Harian.
Kemalangan itu turut disaksikan ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, mengekori dari belakang dengan menunggang sebuah motosikal lain untuk ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.
Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, ketika kejadian dua beradik itu menunggang motosikal jenis Demak DV110 dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh menghala ke Sungai Udang.
Katanya, katanya, setiba di lokasi kejadian, Amirul yang menunggang motosikal itu dipercayai tidak perasan sebuah tong sampah ‘roro’ berada di bahu jalan sebelum merempuhnya.
“Impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut di zon merah.
Bagaimanapun, doktor mengesahkan Amirul meninggal dunia pada jam 7.40 malam semalam diikuti adiknya kira-kira 12.30 pagi tadi,
katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, polis sudah mengesan pemilik tong sampah ‘roro’ terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.