Donald Trump kembali ke Rumah Putih, ini impak kepada ekonomi Malaysia

Donald Trump kembali ke Rumah Putih, ini impak kepada ekonomi Malaysia

 

Donald Trump kembali ke Rumah Putih, ini impak kepada ekonomi Malaysia.

Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia berpotensi meraih manfaat lencongan perdagangan dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) berikutan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), demikian menurut penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata pentadbiran Trump 2.0 mungkin berbeza berbanding penggal sebelumnya dengan sokongan Senator JD Vance dijangka melaksanakan pendirian menyokong perniagaan dan ekonomi yang lebih kukuh di AS.

Beliau berkata, peralihan itu boleh memanfaatkan pasaran baharu muncul, termasuk Malaysia.

“Bagi sektor pembuatan, ia akan memberi manfaat kepada industri semikonduktor dan teknologi memandangkan Malaysia antara pemain utama dalam komponen semikonduktor.

“Pada masa sama, kita mempunyai Strategi Semikonduktor Nasional yang boleh mendapat manfaat daripada pentadbiran Trump 2.0. Oleh itu, sektor pusat data boleh menjadi pemenang utama,” katanya kepada BH.

Mohd Sedek berkata, sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia akan berada pada kedudukan yang baik untuk memudahkan aliran pelaburan antara AS dan negara rantau ini.

Beliau berkata, walaupun AS mungkin mengekalkan tekanan ke atas China melalui tarif, perniagaan telah mengambil kira perkara itu dalam strategi mereka.

“Dalam hal ini, Malaysia dalam kedudukan yang baik. Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia, Singapura dan Vietnam berkemungkinan menjadi penerima manfaat utama,” katanya.

Mohd Sedek berkata, tumpuan kerajaan AS terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memberi manfaat besar kepada ekonomi Malaysia seperti membuka peluang perdagangan baharu untuk PKS temparab, terutamanya yang pakar dalam pasaran khusus atau produk pelengkap kepada PKS negara itu yang boleh membawa kepada peningkatan eksport serta pertumbuhan ekonomi.

Tambahan pula, kataya kerjasama antara PKS Malaysia dan AS boleh memudahkan pemindahan teknologi, membolehkan perniagaan negara itu mengguna pakai teknologi termaju dan meningkatkan daya saing mereka.

“Dengan memanfaatkan peluang ini, Malaysia boleh meningkatkan daya saing global dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

“Walau bagaimanapun, untuk memanfaatkan sepenuhnya manfaat ini, Malaysia perlu mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk PKS dengan memperkemas peraturan, menambah baik akses kepada kewangan, melabur dalam pembangunan kemahiran dan membangunkan infrastruktur,” katanya.

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata ketegangan perdagangan AS-China dijangka berterusan atau meningkat selepas berakhirnya pilihan raya Presiden AS.

Beliau berkata, Asia Tenggara berada di tempat yang menarik untuk perdagangan global dan FDI mungkin menangkat memandangkan ketika penggal pertama pentadbiran Trump atau ‘Trump 1.0’ pada 2017 hingga 2021, pihaknya melihat peningkatan ketara dalam pengembangan dan penempatan semula aktiviti pembuatan dari negara Asia Timur dan Eropah ke rantau ini.

“Semasa penggal Trump sebagai Presiden AS sebelum ini, banyak pemaju di Malaysia dengan pembangunan taman perindustrian (yang utama di Johor ialah i-Park dan Nusajaya Techpark) mengalami lonjakan mendadak dalam permintaan untuk plot tanah industri dan kilang.

“Ini memandangkan banyak syarikat global memilih untuk mengembangkan atau berpindah ke Asia Tenggara bagi mengelakkan potensi ‘gangguan’ daripada perang perdagangan AS-China,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

MIDF Research pula berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Malaysia akan mendapat manfaat daripada perang perdagangan AS-China.

Ia berkata, pihaknya menjangkakan tinjauan eksport akan kekal positif kerana hala tuju aliran semula perdagangan boleh menggalakkan eksport semula yang lebih besar melalui Malaysia.

Katanya, dari segi pelaburan pula, syarikat multinasional boleh meningkatkan pelaburan mereka ke Malaysia sebagai salah satu destinasi untuk menempatkan semula operasi mereka iaitu sebagai sebahagian daripada strategi China+1.