Kadar dividen KWSP dijangka antara 6 hingga 6.2 peratus

Kadar dividen KWSP dijangka antara 6 hingga 6.2 peratus
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diunjur mengumumkan kadar dividen bagi 2024 dalam julat 6.0 hingga 6.2 peratus, didorong oleh keadaan ekonomi global serta domestik yang memberangsangkan, kata penganalisis.
Laporan sebelum ini menyatakan KWSP dijangka mengumumkan kadar dividen berkenaan pada Sabtu ini.
Ketua Penyelidikan Pelabur UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata jangkaan prestasi lebih kukuh itu dipacu terutamanya oleh ekonomi global yang berdaya tahan, pasaran ekuiti yang kukuh, pulangan pendapatan tetap yang menarik serta pemulihan aktiviti ekuiti persendirian.
“Strategi pelaburan KWSP yang pelbagai, ekuiti persendirian dan aset asing, hanya menjadi asas bagi kedudukan baik untuk membolehkan pembayaran dividen yang stabil dan kompetitif bagi 2024,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata, ekonomi Malaysia yang tumbuh 5.1 peratus pada 2024 turut berperanan penting dalam meningkatkan pulangan pelaburan.
Selain itu, prestasi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang lebih baik berserta kadar faedah stabil pada 3.0 peratus dan inflasi rendah pada 1.8 peratus, turut mewujudkan persekitaran ideal bagi menjana pertumbuhan portfolio KWSP.
Mohd Sedek juga menyifatkan keadaan ekonomi global, termasuk kadar faedah, inflasi dan pertumbuhan ekonomi, berperanan penting dalam menentukan kadar dividen KWSP.
Mengikut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi global stabil pada 2.7 peratus dalam 2024 dan menjadi asas bagi pulangan pelaburan yang lebih mantap.
Di samping itu, laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Disember 2024 telah mengunjurkan perdagangan dunia mencecah paras tertinggi AS$33 trilion, sekali gus memaparkan peningkatan sebanyak US$1 trilion daripada 2023.
“Pertumbuhan itu, khususnya di Asia, memacu pendapatan korporat dan prestasi pasaran ekuiti yang hanya melonjakkan pulangan pelaburan KWSP,” katanya.
Pada masa sama, pendirian dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) turut mempengaruhi prestasi kewangan KWSP.
“Kadar faedah AS yang lebih tinggi akan menjadikan hasil bon global lebih menarik. Berikutan itu, KWSP mampu menjana pulangan lebih kukuh daripada pelaburan pendapatan tetapnya yang dalam denominasi dolar AS selain menyumbang asas pendapatan kukuh seiring dengan hasil daripada ekuiti dan ekuiti persendirian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula memberi penekanan mengenai kepentingan amalan tadbir urus dan pelaburan yang berhemat.
Dana persaraan itu, katanya, mematuhi garis panduan dalaman mengenai alokasi atau peruntukan aset strategik (SAA) dan peruntukan aset taktikal (TAA) bagi mengurus risiko dan mengoptimumkan unjuran pulangan pelaburannya.
“Dari sudut tadbir urus, KWSP mempunyai jawatankuasa pelaburan dalaman yang dianggotai oleh kalangan pekerja yang mahir dan cekap dalam membuat penilaian terperinci selain memantau pelaburan sedia ada.
“Beberapa dana juga diuruskan oleh pengurus dana luaran yang membolehkan KWSP mengoptimumkan pulangan pelaburan selain menanda aras prestasi portfolio dalamannya,” katanya.
Beliau berkata, panel pelaburan merangkumi pegawai kanan dan pakar daripada sektor kerajaan dan swasta, turut memberi pandangan dan panduan tambahan mengenai pelaburan KWSP.
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam turut mengingatkan KWSP berkemungkinan menghadapi landskap lebih mencabar pada 2025 berikutan ketidaktentuan politik dan ekonomi global.
Pentadbiran baharu AS di bawah Presiden Donald Trump serta dasar tidak konvensionalnya juga dijangka memberi kesan kepada ekonomi global.
Ini disukarkan lagi oleh ketegangan di Eropah, terutama membabitkan Russia, krisis Asia Barat yang berterusan dan pengaruh China yang kian meningkat dalam politik global dan memaparkan tempoh risiko dan ketidakpastian dalam landskap pelaburan.
“Lazimnya, pasaran kewangan amat sensitif terhadap ketidakpastian…risiko yang berlarutan ini akan memberi premium berisiko tinggi terhadap ruang pelaburan.
“Seperti yang dilihat sekarang, selera risiko KWSP akan dijejaskan oleh peristiwa semasa atau sedang berlaku dan mereka mungkin mahu meninjau pelaburan yang kurang berisiko,” katanya.
Selain itu, Mohd Afzanizam juga mengingatkan kadar dividen sebelum ini tidak semestinya menjadi penentu pulangan bagi masa depan.
“KWSP perlu mempertimbang tahap risiko dan mengambil pendekatan pragmatik terhadap pelaburan. Apa juga keadaannya, adalah penting untuk menanda aras pelaburan kepada sesuatu lebih sejagat dan menjadi kadar inflasi,” katanya.
Berikutan itu, beliau menjangkakan kadar inflasi jangka panjang Malaysia pada 2.5 peratus setahun.
“Susulan itu, apa juga yang melebihi 2.5 peratus adalah petanda yang baik untuk ahli KWSP kerana dapat mengetepikan risiko inflasi,” katanya.