Dividen ASB tahun ini dijangka lebih tinggi

Dividen ASB tahun ini dijangka lebih tinggi

 

Dividen ASB tahun ini dijangka lebih tinggi

Amanah Saham Bumiputera (ASB) berpotensi mengumumkan jumlah dividen yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 , disokong prestasi pasaran saham global dan domestik yang positif.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata rata-rata pasaran saham utama seperti Nasdaq, S&P 500, Nikkei 225 dan Hang Seng, termasuk Bursa Malaysia masing-masing meningkat, justeru kenaikan harga saham seharusnya menterjemahkan dividen yang lebih baik pada tahun ini.

“Nasdaq, S&P 500, Nikkei 225 dan Hang Seng, termasuk Bursa Malaysia masing-masing meningkat 32.3 peratus, 27.7 peratus, 16.8 peratus, 16.5 peratus dan 10.9 peratus. Justeru, memandangkan sebahagian besar daripada kelas aset pelaburan ASB adalah pasaran ekuiti, jangkaan terhadap dividen dilihat setidak-tidaknya sama dengan tahun lalu ataupun lebih.

“Berdasarkan laporan tahunan ASB, pendedahan pasaran ekuiti oleh ASB adalah 83.13 peratus pada 2023. Oleh itu, kenaikan harga saham seharusnya menterjemahkan dividen yang lebih baik pada 2024,” katanya kepada BH.

Akhir tahun lalu, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Dividen yang diagihkan tahun lalu juga lebih baik berbanding tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Mohd Afzanizam berkata, pasaran menyaksikan syarikat seperti Maybank Bhd, Sime Darby Bhd (Sime) dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menunjukkan prestasi yang baik pada 2024, yang memberi impak positif kepada pergerakan harga saham, sekali gus mampu untuk memberikan pulangan yang baik kepada dana ASB.

“Pendedahan ASB terhadap sekuriti pendapatan tetap adalah 7.45 peratus pada 2023. Pengaruh kadar faedah secara langsung adalah tidak sebesar pasaran ekuiti, Namun, sentimen kadar faedah di luar negara terutamanya kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dilihat memberi kesan yang lebih besar disebabkan ia boleh memberi impak kepada pegerakaan harga saham global dan tempatan.

“Suasana kadar AS dilihat memberi kesan kepada aliran dana asing. Kita telah menyaksikan dana aliran keluar bersih oleh pelabur asing pada Oktober dan November yang berjumlah RM1.8 bilion dan RM3.1 bilion,” katanya.

Beliau menjelaskan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan purata sekitar 5.1 peratus bagi tiga suku 2024.

Katanya, pertumbuhan ekonomi yang baik akan diterjemahkan kepada keuntungan yang tinggi dalam kalangan syarikat disenaraikan dan ia sudah pasti memberi impak positif kepada pergerakan harga saham.

“Strategi pelaburan utama ASB berdasarkan asas syarikat yang baik, penyelidikan makroeknomi yang menyeluruh serta disiplin yang tinggi,” katanya.

Mohd Afzanizam bagaimanapun berkata, ketidaktentuan ekonomi global seperti perang perdagangan atau ketegangan geopolitik akan memberi impak kepada sentimen pasaran dan menyumbang kepada turun naik harga saham.

“Di sini peranan penyelidikan pelaburan membantu dalam keputusan pelaburan kerana ia akan dapat mengekalkan disiplin pelaburan selain daripada mengenal pasti peluang pelaburan.

“Ia bertindak sebagai pelindung modal pelaburan kerana pelaburan pendapatan tetap mempunyai risiko yang rendah dan sentiasa memberi pulangan yang konsisten,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham, berkata sebagai antara dana pelaburan terbesar di Malaysia, ASB yang mempunyai sebahagian besar portfolionya dalam ekuiti tempatan dan berpotensi mendapat manfaat langsung daripada prestasi pasaran saham Malaysia yang mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 15 peratus setakat suku ketiga 2024 dengan permodalan pasaran keseluruhan kini mencecah RM2.05 trilion.

Katanya, Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal menjadi faktor penting dalam menentukan hasil pelaburan ASB, sekali gus memberikan ruang untuk instrumen pendapatan tetap dalam portfolio terbabit mengekalkan hasil yang stabil.

“Dengan pasaran saham yang mencatatkan peningkatan nilai dan prestasi syarikat tersenarai menunjukkan pemulihan dalam sektor utama, terdapat jangkaan bahawa dividen ASB untuk 2024 berpotensi lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya.