Dituduh pakai rantai dengan loket salib, ini jawapan Amelia Henderson
TERUK dikritik kerana loket rantai yang dipakai dikatakan menyerupai lambang salib, pelakon dan pengacara Amelia Henderson meluahkan rasa kurang senang tentang kritikan warganet terhadap dirinya.
Amelia atau Amelia Thripura Henderson, 28, dalam satu hantaran di aplikasi X menyatakan aksesori yang dipakai itu sepatutnya tidak menjadi isu perdebatan netizen kerana banyak lagi masalah penting yang boleh diperbincangkan.
“Saya sebenarnya tak mahu bincang tentang perkara ini, tetapi saya sangat marah. Banyak lagi perkara buruk yang terjadi di dunia ni dan ada pula pihak yang marah disebabkan rantai?
“Tak malu ke? Jangan ganggu saya,” katanya.
Entri itu dibuat bagi menjawab satu posting seorang pengguna di aplikasi tersebut yang berasa hairan apabila aktres i.D berikut menerima kecaman kerana memakai loket balerina yang disalah erti oleh warga maya dengan lambang salib.
“Saya sumpah tak faham kenapa ramai kecam rantai Amelia dekat TikTok. Cuba tengok betul-betul, ia bukannya lambang salib, tapi rantai balerina,” tulis pengguna itu.
Terdahulu, Amelia memuat naik video menggunakan filter lucu bersama rakan artis, Aedy Ashraf sebagai konten di TikTok.
Bagaimanapun, ramai memberikan perhatian terhadap rantai yang dipakai aktres itu sehingga timbul persoalan tentang pegangan agama pelakon berkenaan.