“Kena jalan kaki, dikurung” – 47 warga emas ditipu ejen haji, dipaksa redah laluan berbahaya ke Makkah

“Kena jalan kaki, dikurung” – 47 warga emas ditipu ejen haji, dipaksa redah laluan berbahaya ke Makkah
Hasrat 47 jemaah warga emas Malaysia untuk menunaikan haji bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen haji tempatan dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Jemaah yang terpedaya dengan janji manis mendakwa berdepan realiti kejam apabila dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Makkah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Anak seorang daripada pasangan warga emas yang menjadi mangsa penipuan ejen berkenaan, Sharifah Azzahra, berkata ibu, bapa dan ibu saudaranya bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lalu.

Pakej haji yang ditawarkan.
Katanya, warga emas yang menyertai rombongan dikendalikan ejen berkenaan terkejut apabila mendapat tahu bahawa mereka tidak dibenarkan ke kota Makkah susulan tiada visa haji sebaik tiba di Jeddah.
“Susulan kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi, mimpi ngeri 47 warga emas yang menyertai rombongan itu bermula apabila diminta berjalan kaki meredah bukit berbatu, padang pasir, melintasi lebuh raya, melepasi pagar dawai dan kawasan terpencil tanpa sebarang pengawasan atau perlindungan keselamatan untuk sampai ke Makkah.
“Saya terkejut apabila ibu yang berusia 64 tahun, ayah berusia 63 tahun, dan ibu saudara, 54 tahun memaklumkan menerusi WhatsApp, mereka dipaksa meredah laluan berbahaya berjalan kaki bagi mengelakkan pihak berkuasa Arab Saudi, dengan hanya membawa keperluan asas tanpa makanan dan minuman, manakala bagasi ditinggalkan di beberapa tempat.
“Jemaah warga emas ini juga dibahagikan dalam kumpulan kecil untuk berjalan kaki bagi mengelakkan dikesan malah mereka tidak ditemani oleh lapan wakil ejen yang mengiringi mereka selain tanpa apa-apa taklimat keselamatan.
“Lebih memilukan apabila setibanya di Makkah, ibu, ayah dan ibu saudara bersama jemaah yang lain dikurung dan dikunci dalam bilik sempit, tidak dibenarkan keluar, tanpa akses kepada makanan dan rawatan yang sewajarnya selain dimanipulasi secara psikologi melalui ceramah agama bagi menghalang mereka bertindak balas dan membuat aduan,” katanya menurut Berita Harian.

Antara gambar dikongsikan mangsa penipuan haji membabitkan 47 jemaah Malaysia termasuk keadaan bilik sempit, laluan jalan kaki berbahaya serta makanan yang tidak mencukupi. – Foto ihsan keluarga
Susulan itu, Sharifah Azzahra membuat laporan polis mengenai isu penganiayaan dan penipuan ejen haji berkenaan di Balai Polis Ukay Perdana, Ampang, Selangor, petang semalam.
Mengulas lanjut, Sharifah Azzahra berkata, ada warga emas menghidap pelbagai sakit kronik yang memerlukan ubat termasuk insulin dibawa yang ditinggalkan dalam bagasi di tempat lain, namun mereka diminta bayaran tambahan sebanyak 8,000 riyal (RM9,058), bagi menghantar orang mengambilnya.
Katanya, ia sangat mengecewakan susulan majoriti warga emas berkenaan sudah membayar lebih RM30,000 seorang bagi mengerjakan haji bersama ejen berkenaan.
“Ibu saya memaklumkan semua jemaah ditempatkan di sebuah penginapan di Makkah sebelum diarahkan untuk tidak keluar langsung, dan diminta duduk berhimpit dalam sebuah bilik sempit, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Layanan terhadap jemaah dari segi penyediaan makanan juga amat menyedihkan. Makanan yang disediakan bukan sahaja tidak mencukupi termasuk disajikan nasi mentah serta dua ketul ayam yang terpaksa dikongsi dengan lebih daripada lima orang, selain mi segera sebagai pengalas perut,” katanya.
Sharifah Azzahra berkata, ibu serta bapanya memaklumkan ada jemaah yang cuba melarikan diri, namun mereka tidak tahu ke mana hendak dituju selain tiada dokumen yang sah serta pengetahuan mengenai lokasi keberadaan, menyebabkan jemaah akhirnya membatalkan rancangan melarikan diri.
Namun, dalam perjalanan jemaah menuju ke Arafah, mereka akhirnya ditahan selepas dikesan pihak berkuasa Arab Saudi.
Sharifah Azzahra berkata, terdahulu ejen memaklumkan kesemua jemaah, jika rombongan ditahan pihak berkuasa, mereka hanya perlu mendiamkan diri dan menyatakan datang secara individu tanpa dibawa sesiapa.
“Kesemua jemaah dan ejen yang mengiringi ditahan hampir seharian di dalam bas, sebelum akhirnya dilepaskan berikutan Malaysia mempunyai rekod jemaah haji yang baik selain diarahkan terus meninggalkan Arab Saudi serta-merta.
“Ia menyebabkan kesemua 47 jemaah bukan sahaja tidak dapat menunaikan haji seperti yang dihajatkan malah wang yang dibayar kepada ejen hangus begitu sahaja sehingga menyebabkan mereka ralat dan amat sedih,” katanya.
Sharifah Azzahra berkata, insiden itu memberi pengajaran kepada umat Islam terutama warga emas supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jalan pintas menunaikan haji walaupun ditawarkan oleh agamawan berpengaruh dan terkenal.
“Saya merayu pihak berkuasa menyiasat insiden ini serta mengambil tindakan tegas terhadap penganjur ini supaya nasib warga emas yang terpedaya dapat diberikan keadilan sewajarnya.
“Penipuan dan penganiayaan ini bukan sahaja menyusahkan dan mendatangkan trauma kepada mangsa dalam kalangan warga emas, malah mencemarkan imej Malaysia sebagai negara dengan pengurusan haji terbaik dan dikagumi,” katanya.
Sharifah Azzahra turut memaklumkan kesemua 47 jemaah warga emas berkenaan akan pulang ke Malaysia esok selepas tiba di Turkiye, kelmarin.