Ditegur riak sebab pakai tasbih digital, respon guru ini buat ramai tersentuh

Ditegur riak sebab pakai tasbih digital, respon guru ini buat ramai tersentuh

 

Ditegur riak sebab pakai tasbih digital, respon guru ini buat ramai tersentuh

Di sekolah, kadang-kadang murid mampu menjadi seorang individu yang terlebih berani dan tidak dijangka sikapnya.

Begitulah yang dialami oleh seorang guru, Aidal Mustafa atau Cikgu Ai, apabila ditegur riyak dalam beribadat oleh anak muridnya kerana memakai cincin yang merupakan tasbih digital untuk kiraan selawat.

Menurut Cikgu Ai, dia tidak melihat teguran tersebut sebagai sesuatu yang biadab, sebaliknya menganggap ia sebagai satu tanda muridnya aktif dalam pembelajaran dan berani bertanya.

Malah dalam hantarannya di TikTok, dia menggunakan kesempatan itu untuk memberi kesedaran mengenai kelebihan berselawat.

Sebagai respons kepada pertanyaan muridnya, Cikgu Ai menyenaraikan beberapa kelebihan berselawat yang mungkin ramai terlepas pandang:

1. Markah tidak ditolak

Selawat merupakan amalan yang Allah tidak tolak walaupun dilakukan dalam keadaan lalai, sambil lewa dan termasuklah jika ada unsur riyak.

2. Hati lebih tenang

Allah akan memberikan ketenangan kepada hati mereka yang sentiasa berselawat.

Seperti dalam situasi ini, Cikgu Ai menerima teguran muridnya dengan hati yang terbuka tanpa rasa terguris.

3. Pintu rezeki terbuka luas

Amalan selawat mampu melapangkan rezeki selapang-lapangnya, menjadikan kehidupan lebih diberkati dan dipermudahkan.

4. Doa dimakbulkan

Allah akan memakbulkan permintaan dan hajat mereka yang istiqamah dalam berselawat.

5. Anak yang soleh dan solehah

Dengan keberkatan selawat, Allah akan mengurniakan anak-anak yang soleh dan solehah.

6. Dekat dengan Rasulullah SAW

Jika seseorang istiqamah berselawat sebanyak 1,000 kali sehari, dia berpeluang ‘berlaga bahu’ (bertemu) dengan Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak.

Namun, kesahihan hadis ini tidak dapat dipastikan kerana tidak ditemukan dalam mana-mana kitab.

Bila waktu sesuai berselawat?

Dalam perbualan itu juga, murid tersebut bertanya mengenai waktu terbaik untuk berselawat.

Cikgu Ai menjelaskan bahawa selawat tidak mempunyai sebarang syarat khusus. kerana tidak memerlukan wuduk, sejadah mahupun menghadap kiblat.

Selawat boleh dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.