Berang ditegur kentut dalam kereta, lelaki tumbuk adik perempuan

Berang ditegur kentut dalam kereta, lelaki tumbuk adik perempuan

 

Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam selepas mengaku bersalah menumbuk muka adik perempuannya yang menegur perbuatan tertuduh kentut di dalam kenderaan, minggu lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ridzuan Samsudin, 37, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dengan sengaja telah mendatangkan cedera dengan cara memukul dan menumbuk hidung serta mulut adik kandungnya, Nurul Hanis Samsudin, 32.

Kesalahan itu dilakukan semasa berada di tempat duduk belakang dalam sebuah kereta di kawasan parkir pasar raya Lotus di Jalan Peringgit dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 11 pagi 11 September lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun dan dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, sebelum kejadian tertuduh telah bergurau kentut di dalam kenderaan dinaiki mereka berdua dan mangsa menegur perbuatan tertuduh yang dianggap tidak sopan.

Mangsa bagaimanapun dikatakan telah mengungkit kisah silam tertuduh menyebabkan lelaki itu tidak berpuas hati dan menumbuk bahagian hidung dan mulut adiknya sehingga berdarah serta bengkak.

Adiknya kemudian membuat laporan polis dan pemeriksaan di Hospital Melaka mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu pada mulut, pipi kanan,dan dahi kiri.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal diberikan kerana tertuduh telah mencederakan adik kandungnya sendiri.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai mekanik di bengkel sendiri,selain menanggung isteri dan enam orang anak.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap pada 14 September lalu.