Bekas pembantu kedai didenda RM100 malukan individu dalam TikTok

Bekas pembantu kedai didenda RM100 malukan individu dalam TikTok
Gara-gara menayangkan gambar sebelum dan selepas bersolek seorang wanita tanpa kebenaran ketika membuat siaran langsung di TikTok, seorang pembantu kedai didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nurul Hidayah Yusuf, 23, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua hari, jika gagal bayar denda.
Mengikut pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa mengaibkan wanita berumur 23 tahun itu dengan menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang siaran langsung di TikTok dan membuat perbandingan sebelum dan selepas mangsa bersolek tanpa kebenarannya di sebuah kondominium di Sentul pada pukul 10.51 pagi, 5 April lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Terdahulu ketika mengemukakan rayuan, Nurul Hidayah yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dikenakan hukuman ringan kerana dia telah dibuang kerja manakala Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah menerima WhatsApp dari rakannya iaitu rakaman skrin (screen recording) siaran langsung di TikTok yang dibuat Nurul Hidayah.
Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana berasa aib dengan tindakan tertuduh yang meletakkan gambarnya sebagai imej latar belakang dan membuat perbandingan muka pengadu semasa bersolek dan tidak bersolek.