Demi kelangsungan hidup, peniaga pasar malam terjebak pinjam ah long
Kehabisan modal dan kesukaran mendapatkan bantuan kewangan perniagaan ketika awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan seorang peniaga pasar malam di Bandaraaya Ipoh terpaksa meminjam ah long.
Mengakui kesal tindakan tersebut, peniaga yang ingin dikenali sebagai Siti, 38 kini berdepan kesukaran melunaskan dua pinjaman berbeza masing-masing berjumlah RM4,000 dan RM1,500 selain turut diganggu lintah darat tersebut.
Menurutnya, dia dan suami kini buntu untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman yang dibuat memandangkan jualan perniagaannya tidak begitu memberangsangkan.
“Sebelum ini saya dan suami meniaga pisang goreng di tepi jalan. Tetapi sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, keadaan kewangan kami sekeluarga terus menyusut.
“Lebih teruk lagi selepas suami disahkan menghidap penyakit hipertiroid, pendapatan terus terjejas menyebabkan kami terpaksa meminjam duit dari rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya pada Ahad.
Siti berkata, pinjaman pertama sebanyak RM1,500 sudah dijelaskan dengan bayaran harian ditetapkan RM40 dalam masa 45 hari tetapi ah long tersebut masih mengganggu mengatakan bayaran belum diselesaikan.
Katanya, dia kini sedang mengumpulkan wang bagi membayar pinjaman kedua berjumlah RM4,000 dengan jumlah bayaran balik harian RM75 selama 60 hari.
Menurutnya, pada peringkat awal, pinjaman tersebut sememangnya membantu bagi membeli barang-barang perniagaan tetapi selepas jualan yang tidak menentu dan berkurangan menyebabkan bayaran balik tidak dapat dibuat mengikut jadual.
“Saya tetap meniaga macam biasa tapi sekarang ini orang dah makin kurang membeli. Paling banyak pun sehari boleh dapat RM90 dan pernah juga dapat RM30 sahaja sehari.
“Duit meniaga ini memang saya kumpul untuk bayar hutang sahaja. Kadang-kadang untuk beli makan pun tak lepas. Mujurlah ada juga bantuan makanan dari pihak tertentu,” katanya yang mempunyai empat orang anak.
Sementara itu, Siti turut memaklumkan bayaran sewa rumah yang didiami mereka sekeluarga juga masih tertunggak dua bulan kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
Dia kini mengharapkan bantuan kewangan dari kerajaan menerusi Bantuan Prihatin Rakyat dan bantuan-bantuan lain yang disediakan.
Sumber: Sinar Harian