“Saya tak pandai, bagi isteri sambung belajar” – Pasangan naik motosikal rentas 300km demi bantuan laptop

“Saya tak pandai, bagi isteri sambung belajar” – Pasangan naik motosikal rentas 300km demi bantuan laptop

 

“Saya tak pandai, bagi isteri sambung belajar” – Pasangan naik motosikal rentas 300km demi bantuan laptop

Pendidikan mampu mengubah taraf hidup keluarga.

Maka tidak hairanlah sepasang suami isteri sanggup menaiki motosikal sejauh kira-kira 300 kilometer (km) dari selatan tanah air ke Kuala Lumpur demi mendapat bantuan sebuah komputer riba untuk tujuan belajar.

Kisah pasangan itu dikongsikan usahawan, Muhammad Abu Hurairah Roslan di Facebook.

“Datang naik motosikal bukan dekat, dari selatan. Anak tinggalkan pada mak ayah sekejap. Demi untuk sebuah laptop.

“Bertolak tengah malam. Awal pagi Sabtu sampai sebab dia terbaca yang saya ada di kedai Jumaat saja dan hari minggu daripada lepas subuh,” kata Abu Hurairah.

Menerusi tangkap layar mesej yang dimuat naik Abu Hurairah dalam hantaran sama di Facebook, difahamkan pasangan itu mempunyai dua cahaya mata berusia enam dan tiga tahun.

Si isteri berusia 32 tahun bekerja mengasuh seorang budak dengan upah RM500, manakala suaminya mempunyai pendapatan bulanan RM1,500 serta jurujual penapis air secara sambilan.

Wanita itu menyambung pengajian secara dalam talian di sebuah universiti tempatan dalam Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah, dan memohon bantuan kerana komputer riba sudah rosak.

Mengimbas kembali perbualan pasangan itu di kedainya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, si suami bertanyakan sama ada isterinya layak menerima bantuan komputer riba atau tidak.

Encik Abu, isteri saya layak tak nak dapat bantuan laptop? Dia je yang pandai belajar ni. Saya tak pandai belajar. Itu yang saya bagi dia peluang sambung belajar.

“Allahuakbar. Saya pandang pasangan ni sayu betul. Suami kerja biasa. Jadi, isteri yang tawarkan diri sambung belajar. Nanti boleh dapat kerja yang lebih baik dan tampung keluar bersama,” katanya.

Menjawab pertanyaan si suami tadi, Abu Hurairah dalam masa sama kagum dengan usaha dan kesanggupan mereka yang sanggup meredah perjalanan sejauh itu pada waktu malam.

“Sebenarnya tak perlu datang jauh-jauh. Naik motosikal pula. Whatsapp atau PM (private message) saja. Insya-Allah ada masa lapang saya balas dan bantu usahakan satu laptop.

Alhamdulillah. Isteri saya dapatlah ya? Atau encik nak duit sikit. Saya ada sikit ni. Nanti ada duit saya bayar lagi,” balas si suami penuh teruja.

Abu Hurairah bagaimanapun menolak sebarang bayaran daripada pasangan terbabit.

“Saya tolak dengan baik. Setakat ni, Alhamdulillah. Kalau ada lebihan daripada sumbangan untuk #bantubaiki, terus saya siapkan untuk #bantuanlaptop,” katanya yang merujuk kepada bantuan berupa peranti itu hasil sumbangan masyarakat kepada mereka yang memerlukan.

Disaksikan sendiri Abu Hurairah di kedainya yang menjual dan membaiki komputer riba, si suami memeluk isterinya sambil menitipkan pesanan.

“(Suami) pesan belajar elok-elok. Dia akan selalu sokong isterinya. Sayu saya rasa. Itulah antara sebab saya buka saja pintu kepada sesiapa yang perlu.

“Walaupun kadang macam tak larat dah nak bantu. Bukan senang nak bantu dengan barangan komputer dan laptop ni. Tahun ni saja, laptop scrap pun naik harga. Apalagi kalau laptop yang bagus dan baik,” katanya.