DDNK cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama ‘Juara Trader Dunia’

DDNK cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama ‘Juara Trader Dunia’

 

DDNK cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama ‘Juara Trader Dunia’.

Datuk Dr Nazri Khan diiktiraf ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai individu pertama Malaysia yang menjadi juara perdagangan pasaran hadapan dunia pada 2024.

Beliau yang juga Pengurus Dana Bertauliah Malaysia telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa sebelum ini apabila dinobatkan sebagai Juara Trader Dunia 2024 pada Kejohanan Piala Dunia Perdagangan dengan rekod pulangan sebanyak 302.5 peratus bagi suku pertama, 179.6 peratus (suku kedua) dan 357.2 peratus (suku ketiga).

Nazri Khan berkata, pencapaian itu juga adalah bukti keberkesanan ekonomi digital selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI, yang menyokong pembangunan modal insan yang berintegriti, inovatif dan kompetitif di peringkat dunia.

Beliau berkata, dengan kejayaan ini, beliau telah membuktikan bahawa pendekatan ekonomi berteraskan Malaysia MADANI mampu membawa nama negara ini ke persada antarabangsa.

Katanya, ini juga mengangkat reputasi Malaysia dalam melahirkan pedagang saham yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing dalam pasaran global.

“Pengiktirafan ini juga merupakan inspirasi bagi golongan pedagang dan pelabur di Malaysia. Saya membuktikan bahawa walaupun berhadapan dengan persaingan global yang sangat kompetitif, anak tempatan berpotensi untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dengan usaha gigih dan ketekunan.

“Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi pembakar semangat kepada semua pihak terutamanya golongan muda di Malaysia untuk menceburi bidang perdagangan dengan lebih serius dan melihatnya sebagai jalan menuju kecemerlangan,” katanya selepas majlis penyerahan sijil ‘Malaysia Book Of Records’ di sini, hari ini.

Nazri Khan berkata, melalui pencapaian luar biasa itu, beliau bukan sahaja meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga menonjolkan potensi sebenar negara dalam melahirkan individu berkualiti yang mampu mencapai kejayaan di arena dunia.

Beliau berkata, dengan semangat dan visi selaras dengan prinsip Malaysia MADANI, ia diharapkan akan terus memberikan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk terus maju dan merebut peluang demi kemajuan ekonomi serta nama baik negara.

“Terima kasih juga kepada Malaysia Book Of Record atas pengiktirafan yang diberikan kepada saya. Sudah tentu, ia akan menjadi pembakar semangat dalam mendepani masa depan dan bersama mengangkat martabat negara.

“Saya juga akan berkongsi kejayaan ini dengan rakyat Malaysia. Saya inginkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi juara bukan saja dalam perdagangan pasaran tetapi ekonomi.

“Justeru, satu program yang direka khas untuk membantu pelabur, pedagang baharu dan berpengalaman mendalami ilmu pasaran seiring dengan mendepani cabaran masa hadapan akan diadakan pada bulan depan. Program ini bukan sekadar kelas pelaburan tetapi platform untuk mengubah rakyat Malaysia biasa menjadi pedagang bertaraf global,” katanya.