Baru-baru ini, tular sebuah gambar yang memperlihatkan satu patung yang disyaki berkaitan sihir yang dituju kepada pihak DBKL.
Difahamkan patung misteri tersebut ditemui di Dataran Setiawangsa yang terbiar di atas jalan.
Namun, apa yang menarik perhatian apabila patung berkenaan menyerupai patung yang biasa digunakan dalam perbuatan sihir lalu dililit dengan kain kuning di samping terdapat sejumlah jarum yang dicucuk serta tertera perkataan ‘DBKL’ padanya.
Perkongsian gambar patung tersebut menerusi platform Facebook langsung mencetus persoalan di kalangan netizen yang mana ada yang berpendapat ia sebagai satu jenaka ‘nakal’ dan sebahagian lain pula risau jika ia benar-benar patung sebenar yang digunakan untuk tujuan santau terhadap pihak DBKL.
Tidak kurang juga ada sebahagian seperti berpuas hati jika ia memang dihantar sebagai santau kerana merasa teraniaya dengan layanan DBKL sebelum ini.
Bagi yang beragama Islam pula, mereka menekankan bahawa tindakan menyihir seseorang adalah dosa besar dan diminta bertaubat secepat mungkin kerana sudah bertentangan akidah yang dipegang selama ini.