Wanita kongsi rahsia pilih daun ubi kayu tak pahit

Wanita kongsi rahsia pilih daun ubi kayu tak pahit

 

Wanita kongsi rahsia pilih daun ubi kayu tak pahit

Masakan pucuk ubi kayu sememangnya salah satu sayur kampung kegemaran ramai di Malaysia. Namun, tidak semua orang tahu cara memilih daun ubi kayu yang sesuai untuk dimasak tanpa rasa pahit.

Kesilapan dalam memilih boleh menjadikan lauk berlemak pucuk ubi terasa pahit hingga hilang selera.

Rupa-rupanya terdapat pelbagai jenis pokok ubi kayu di Malaysia. Setiap jenis mempunyai ciri yang berbeza pada daun, batang dan rasa pucuknya.

Jika tidak dikenal pasti, berkemungkinan lauk yang anda masak terbuang begitu sahaja.

Bagi mengelakkan anda mengalami trauma memasak pucuk ubi kayu, seorang pengguna Facebook, Sara Saad berkongsi beberapa tip penting dalam mengenali jenis-jenis pucuk ubi kayu. Ikuti perkongsian beliau di bawah.

Menurut Sara, perkara pertama yang perlu diperhatikan merupakan warna tangkai pucuk ubi kayu. Warna ini menjadi petunjuk sama ada pucuk itu pahit atau tidak.

Tangkai merah menandakan pucuk ubi kayu tersebut pahit. Pucuk ini perlu direbus terlebih dahulu sebelum dimasak bersama bahan lain.

Berbeza pula dengan pucuk ubi kayu bertangkai hijau. Jenis ini sememangnya tidak pahit jadi anda boleh terus memasak pucuk ubi tanpa perlu direbus.

Selain tangkai, jenis pokok ubi kayu juga mempengaruhi rasanya. Ubi kayu pulut tidak pahit dan boleh terus dimasak. Begitu juga dengan ubi kayu kangkung, ubi kayu kerinting dan ubi kayu batik kuning.

Semua jenis pucuk ini sesuai direbus terus di dalam gulai atau masakan berkuah.

Bagaimanapun, jenis ubi kayu daun hitam sejenis pucuk yang pahit menurut Sara. Anda perlu merebus pucuk ubi kayu ini terlebih dahulu.

Memasak pucuk ubi kayu sebenarnya mudah jika anda tahu tip asas memilih pucuk yang betul. Warna tangkai dan jenis pokok ubi menjadi panduan paling mudah untuk anda membuat pilihan.

Semoga perkongsian kali ini berguna buat anda di dapur.