DarSA Fried Chicken mohon maaf isu azan Maghrib awal 3 minit, nasihat pelanggan ganti puasa

DarSA Fried Chicken mohon maaf isu azan Maghrib awal 3 minit, nasihat pelanggan ganti puasa

 

DarSA Fried Chicken mohon maaf isu azan Maghrib awal 3 minit, nasihat pelanggan ganti puasa

DarSA Fried Chicken (DFC) sekali lagi memohon maaf di atas kesilapannya memainkan laungan azan Maghrib membuatkan pelanggan di cawangan Puncak Alam berbuka puasa tiga minit lebih awal pada 17 Mac lalu.

Pengurusan DFC Puncak Alam dalam satu kenyataan berkata, pada hari berkenaan, laungan azan Maghrib berkumandang jam 7.26 malam sedangkan waktu berbuka puasa sebenar bagi kawasan Kuala Selangor ialah 7.29 malam berdasarkan rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut kenyataan tersebut, kesilapan itu akhirnya menyebabkan pelanggan berbuka puasa lebih awal dan pihaknya memohon supaya individu terlibat mengganti puasa masing-masing.

“Kami dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf di atas kekhilafan ini dan amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang memaklumkan perkara berkenaan.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan pelanggan untuk ganti (qada’) puasa bagi mematuhi hukum syarak. Kami juga telah mengambil langkah-langkah pembetulan agar perkara ini tidak berulang termasuk menyemak dan menyelaras waktu azan dengan jadual rasmi solat.

“Kami menghargai kepercayaan anda terhadap DFC Puncak Alam dan berkomitmen untuk memberi pengalaman terbaik kepada semua pelanggan. Segala kesulitan amat dikesali dan terima kasih di atas sokongan anda,” katanya pada Khamis.

Sebelum ini, pelanggan DFC Puncak Alam menyatakan kekesalan di media sosial apabila tidak sengaja berbuka puasa lebih awal daripada waktu sepatutnya.

May be an image of ticket stub and text