Pemandu e-hailing, isteri dalang utama edar dadah dicekup

Pemandu e-hailing, isteri dalang utama edar dadah dicekup

 

Pemandu e-hailing, isteri dalang utama edar dadah dicekup

Suami isteri disyaki ketua kumpulan edar dadah ditahan bersama 90 kilogram (kg) ganja mampat dan bunga ganja bernilai RM2.37 juta dalam serbuan di Kuala Krai dan Pasir Puteh awal pagi kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 31 dan 49 tahun ditahan jam 4 pagi di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai sebelum rampasan seterusnya dilakukan di kediaman suspek di Selsiing, Pasir Puteh jam 4 petang.

Suspek yang mendalangi kegiatan pengedaran dadah itu berselindung di sebalik peniaga ayam proses, manakala suaminya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan ketika anggota unit kereta peronda (MPV) Kuala Krai melakukan rondaan dan mengesan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 yang mencurigakan.

Beliau berkata, anggota polis mengekori kenderaan terbabit sebelum menahannya dan pemeriksaan kenderaan itu dinaiki pasangan suami isteri.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 110 bungkusan plastik yang didalamnya mengandungi tumbuhan kering dipercayai bunga ganja seberat 60.8 kilogram.

“Selain itu turut ditemui ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 6:95kg dan paket plastik mengandungi 150 biji pil yaba.

“Jumlah dadah jenis ganja yang dirampas di Kuala Krai sebanyak 67.75 kg dan 15 gram pil yaba membabitkan nilai RM2.37 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Susulan rampasan dan tangkapan berkenaan, Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyerbu di rumah suspek di Pasir Puteh pada hari yang sama sebelum menemui 22 kg tumbuhan kering mampat jenis ganja di dalam rumah berkenaan bernilai RM775,000.

“Kita juga merampas wang tunai, rantai leher dan barang kemas dengan nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua lokasi adalah sebanyak RM3.1 juta.

“Siasatan mendapati pasangan suami isteri ini sudah bergiat aktif sejak lebih setahun lalu dengan berselindung di sebalik perniagaan lain.

“Kita juga percaya bekalan dadah terutama bunga ganja ini akan dihantar ke luar negara. Kita tidak menolak kemungkinan suami isteri ini adalah ketua kumpulan dan mereka juga mempunyai rangkaian lain memandangkan bekalan untuk dihantar ke luar negara,” katanya.

Jelasnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek wanita adalah negatif.

“Kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.

Sumber: Harian Metro