Pemandu bas ekspres bagi kata dua, malas layan aduan penumpang ‘curi’ tempat duduk
![Pemandu bas ekspres bagi kata dua, malas layan aduan penumpang ‘curi’ tempat duduk Pemandu bas ekspres bagi kata dua, malas layan aduan penumpang ‘curi’ tempat duduk](https://beritaperak.com/wp-content/uploads/2025/02/1-43.jpg)
Pemandu bas ekspres bagi kata dua, malas layan aduan penumpang ‘curi’ tempat duduk
Ketika zaman sudah serba canggih dan moden, masih ada segelintir individu yang masih tidak bertimbang rasa atau mempunyai common sense dalam banyak perkara.
Sebagai contoh, ketika menggunakan pengangkutan awam, ada individu tanpa rasa bersalah mengambil tempat duduk yang sudah dikhaskan untuk penumpang lain.
Dalam satu perkongsian di laman sosial, seorang pelayar tampil berkongsi pengalaman yang dilaluinya agar dapat dijadikan pengajaran bersama untuk menjadi lebih beradab dan menghormati hak orang.
“Baru kali ni naik bas rasa menyampah, beli tiket dah ada nombor kerusi.
“Tapi apabila masuk bas ada orang duduk pula tempat kita. Tiba-tiba (dia) kata duduk je mana-mana, free seat (tempat duduk terbuka),” tulisnya dalam hantaran berkenaan.
Lebih mengecewakan ujarnya, pemandu bas yang sepatutnya bijak mengawal situasi, turut tidak membantu malah membiarkan penumpang bebas duduk sesuka hati.
Tambah pelayar berkenaan, seperti mana ketika menaiki pesawat, sepatutnya penumpang bas ekspres juga perlu mengikut peraturan memandangkan ada yang membeli tiket lebih awal untuk tempat duduk tertentu.
“Pakcik bas boleh pula cakap duduk je mana-mana kosong. Nak balik ke tak nak balik?
“Wah dia punya adab tu cakap dengan penumpang. Ini kali pertama dan terakhir aku naik bas express syarikat ni. Sumpah tak nak naik dah,” tulisnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut menyokong tindakan pelayar berkenaan menyuarakan isu tersebut memandangkan ia dianggap remeh oleh sesetengah individu.
Malah mereka turut mencadangkan agar penumpang memboikot syarikat bas ekspres berkenaan kerana mempunyai pelbagai isu selain tidak mengutamakan keselesaan penumpang.
“Sesetengah pemandu buat macam kita yang terhegeh-hegeh naik bas dia.
“Dulu pernah kena, bila ajukan kepada konduktor, kita pula dimarahinya. Kita pula pelajar, tak berani nak melawan.
“Banyak kali kena macam ni. Memanglah seat banyak kosong. Ikut sajalah nombor tiket. Kalau tak ikut nombor tiket, baik masa beli tiket tak payah tanya seat mana.
“Biasanya bas ekspres murah, macam inilah servisnya,” demikian antara komen netizen.