“Cuba balik tapi terasa ‘berat’..” – Hilang 41 hari, anggota tentera ditemui makan di restoran
Anggota Tentera Kem Terendak, Sungai Udang, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri ditemui selamat oleh keluarganya pada Ahad malam selepas dilaporkan hilang sejak lebih sebulan lalu, lapor Sinar Harian.
Difahamkan, prebet berusia 21 tahun itu ditemui di sebuah kedai makan di Semabok, Melaka dalam keadaan yang tidak terurus.
Menurut bapanya, Nazri Abd Rahim, 48, keadaan Muhammad Fakrullah ketika ditemui berambut panjang berbeza dengan sebelum ini dan tidak dinafikan melihat keadaan anaknya itu membuatkan dirinya sedih.
“Alhamdulillah penantian kami selama ini, doa-doa orang ramai termasuk bantuan pihak media ALLAH SWT makbulkan doa kami.
“Ketika abang sulungnya berjaya menemuinya dia terkejut sebelum menangis sambil mendakwa dia cuba untuk pulang ke rumah namun terasa ‘berat,” katanya.
Nazri berkata sebelum ini terdapat individu memaklumkan pernah ternampak kelibat anak kedua daripada tiga beradik itu di kedai makan tersebut.
“Semalam (Ahad) abangnya tergerak hati nak pergi ke kedai itu, sebaik dia sampai kat kedai itu dia nampak Fakrul,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nazri berkata anaknya itu hanya makan di kedai dan tidur di beberapa premis termasuk hotel bajet selepas 41 hari menghilangkan diri.
“Namun sehingga sekarang ini, kami sekeluarga masih tidak tahu punca sebenar dia berkelakuan demikian kerana tidak mempunyai masalah dalam hubungan keluarga, teman wanita, kewangan atau pun dibuli,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota tentera yang sepatutnya kembali bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang dilaporkan hilang.
Kata polis, kali terakhir keluar dari rumahnya sejak 24 Jun lalu ketika sedang bercuti.