Syarikat Malaysia ambil alih cawangan Cold Storage, Giant di Singapura

Syarikat Malaysia ambil alih cawangan Cold Storage, Giant di Singapura

 

Syarikat Malaysia ambil alih cawangan Cold Storage, Giant di Singapura

Kumpulan peruncitan Malaysia, Macrovalue akan mengambil alih perniagaan makanan DFI Retail Group (DFI) di Singapura, termasuk Cold Storage, Giant, CS Fresh dan Jason’s Deli pada harga S$125 juta (RM412.5 juta).

DFI dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu telah menandatangani perjanjian dengan kumpulan peruncitan Asia Tenggara itu dan urus niaga dijangka selesai pada separuh kedua tahun ini, ‘tertakluk kepada pelarasan dan syarat lazim dimuktamadkan’.

Media Singapura, The Straits Times (ST) melaporkan, perjanjian itu merangkumi semua 48 kedai Cold Storage di Singapura, termasuk di bawah jenama CS Fresh, CS Gold dan Jason’s Deli, serta 41 cawangan Giant, selain dua pusat pengedaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DFI, Scott Price, berkata kumpulan itu percaya Macrovalue berada dalam kedudukan terbaik untuk memacu fasa pertumbuhan seterusnya bagi perniagaan makanan di Singapura, dengan skala yang lebih luas dan kuasa perolehan yang meliputi Malaysia serta Singapura.

“Peralihan ini dijangka memberi manfaat kepada pelanggan di Singapura dengan rangkaian produk yang lebih luas, harga yang lebih kompetitif dan perkhidmatan yang lebih baik di bawah pemilik yang mempunyai keupayaan serta komitmen untuk melabur dalam kejayaan jangka panjang,” katanya.

Macrovalue sebelum ini telah mengambil alih dan menyepadukan perniagaan makanan DFI di Malaysia pada tahun 2023, termasuk jenama Giant dan Cold Storage.

Price turut menegaskan DFI tetap komited terhadap Singapura sebagai pasaran utama dalam portfolionya dan akan mengalihkan tumpuan serta sumber di negara itu kepada perniagaan Guardian dan 7-Eleven bagi memacu pertumbuhan berikutnya, meningkatkan pengalaman pelanggan, serta meningkatkan pulangan.

“Kedua-dua perniagaan ini mempunyai potensi pertumbuhan yang besar, dan pasukan kami yang berdedikasi di Singapura sedang berusaha keras untuk memastikan kami terus memenuhi dan melebihi jangkaan pelanggan pada tahun-tahun yang akan datang,” tambahnya.