Wanita buat kerja sampai lewat malam terkejut nampak kelibat ‘cleaner’ tanpa kepala

Wanita buat kerja sampai lewat malam terkejut nampak kelibat ‘cleaner’ tanpa kepala

 

Wanita buat kerja sampai lewat malam terkejut nampak kelibat ‘cleaner’ tanpa kepala

Bersengkang mata sehingga lewat malam merupakan satu situasi biasa bagi mereka yang bekerja dalam bidang perakaunan.

Situasi sama turut dilalui Syifa (bukan nama sebenar) yang pastinya berdepan kesibukan apabila syarikatnya akan menutup akaun pada setiap hujung bulan.

Namun sekitar pertengahan tahun lalu, akauntan muda itu berdepan kejadian menyeramkan ketika dia berada di pejabatnya sehingga pukul 11 malam.

Ketika itu Syifa tidak bersendirian, sebaliknya dia ditemani seorang lagi rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Nadiah.

Suasana di pejabat pada waktu itu sangat sunyi memandangkan hanya mereka berdua yang masih bekerja.

Syifa kemudiannya pergi ke tandas kerana mahu melepaskan ‘hajat’ sebelum dia dikejutkan dengan kehadiran Kak Yanti yang sedang membersihkan lantai.

“Aik, Kak Yanti tak balik lagi? Dah lewat sangat ni,” tegur Syifa selepas dia melihat pekerja pembersihan dari Indonesia itu.

“Biasalah dik, malam pun kerja sekarang,” balas wanita pertengahan usia itu sambil kepalanya memandang ke arah lantai yang basah.

Syifa kemudiannya hanya mengangguk dan tersenyum sebelum masuk ke tandas dalam keadaan mengepit paha kerana dia benar-benar tidak tahan untuk membuang air kecil.

Ketika Syifa sedang membetulkan seluar dan mahu keluar dari tandas, tiba-tiba sahaja lampu terpadam, menyebabkan gadis itu menjerit ketakutan.

“Nadiah, tolong aku!” jerit Syifa dari dalam tandas.

Berbekalkan lampu suluh telefon, Syifa berjalan keluar perlahan-lahan untuk kembali ke kawasan meja kerjanya.

Secara tiba-tiba, Syifa melihat kelibat seperti tubuh Kak Yanti dalam kegelapan dan dia menegur wanita itu tentang kejadian lampu terpadam.

Namun, Syifa rebah terduduk apabila dia menyuluh telefonnya ke atas dan melihat tubuh Kak Yanti yang berlumuran darah tanpa kepala.

Syifa terus pengsan akibat terlalu terkejut dan hanya sedar beberapa minit kemudian.

Ketika membuka matanya, Syifa melihat Nadiah bersama pengawal keselamatan sedang mengipas mukanya.

Syifa terus memeluk Nadiah dalam keadaan menangis dan menceritakan kejadian yang disaksikannya.

Esoknya, cerita seram yang berlaku kepada Syifa menjadi bualan ramai di pejabatnya.

Ketika itu jugalah salah seorang kakitangan lama mendedahkan pejabat mereka sebenarnya dibina di atas tapak kubur lama.

Sejak kejadian itu, Syifa akan memastikan dia pulang sebelum pukul 7 malam dan segala tugasan yang tidak siap akan dibuat di rumah sahaja.