Wanita 77 tahun bernikah dengan cinta lama selepas 50 tahun terpisah

Wanita 77 tahun bernikah dengan cinta lama selepas 50 tahun terpisah
Seorang wanita warga emas tidak menyangka akan bertemu jodoh buat kali pertama pada usia 77 tahun.
Azizah Alias, seorang pesara kerajaan, terbuka hati menerima Profesor Datuk Dr Md Sham Kassim, 81, sebagai suaminya selepas mereka kembali berkenalan melalui anak saudaranya yang juga bekas pelajar kepada profesor berkenaan.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Kampung Lada di sini pada Sabtu.

Md Sham membacakan lafaz taklik kepada Azizah.
Menurut Azizah, tidak sukar baginya untuk menerima pelawaan Md Sham untuk kembali berkawan kerana mereka pernah saling mengenali ketika zaman sekolah dahulu.
“Saya dapat mesej daripada anak saudara yang beritahu pensyarahnya mahu berkenalan dengan saya.
“Bila tengok namanya, rupa-rupanya kami saling mengenali ketika zaman sekolah dulu,” katanya.
Menurut Azizah, dari situlah bermula kembali perkenalannya dengan suami selepas lebih 50 tahun terpisah sebelum mereka masing-masing bersetuju untuk hidup bersama.
Ujarnya, beliau terbuka hati menerima Md Sham kerana yakin lelaki itu adalah suami terbaik untuknya.
“Saya juga dapat galakan daripada adik-beradik dan anak saudara untuk menerima suami,” katanya.
Tambahnya, bukan tidak pernah ada lelaki yang menaruh perasaan terhadapnya ketika muda, namun hatinya tidak pernah terbuka untuk menerima sesiapa pada ketika itu.

Azizah bertemu jodoh pada usia 77 tahun dengan Md Sham selepas lebih 50 tahun terpisah.
Bagaimanapun, Azizah berkata beliau tidak pernah rasa tertekan hidup bersendirian dan sentiasa yakin bahawa jodohnya akan tiba pada waktu yang ditentukan.
“Saya percaya jodoh saya akan sampai suatu hari nanti. Tapi bila masa itu, saya tak pasti. Setiap orang ada jodoh masing-masing.
“Dengan izin ALLAH, saya dipertemukan dengan suami, dan saya rasa dia adalah suami terbaik untuk saya,” katanya.
Sementara itu, Md Sham yang merupakan bekas pakar perubatan kanak-kanak dan bekas pensyarah berkata, beliau mengenali Azizah sejak di bangku sekolah, namun hubungan mereka tidak rapat dan terputus selepas beliau melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Bagaimanapun, katanya, selepas kematian isterinya enam bulan lalu, beliau terfikir untuk mencari semula Azizah.
“Selepas kematian isteri, hidup saya terasa sunyi dan saya teringatkan semula Azizah.
“Saya minta bantuan bekas pelajar saya, yang juga anak saudara Azizah, untuk mendapatkan nombor telefonnya dan sejak itu kami kembali berhubung,” katanya yang mempunyai empat anak dan enam cucu.
Tambahnya, beliau tertarik dengan perwatakan Azizah yang ramah dan baik hati.
Beliau juga mengakui bahawa pada awalnya anak-anaknya kurang bersetuju dengan keputusannya untuk berkahwin semula.
“Tapi saya beritahu anak-anak yang saya perlu teruskan hidup kerana pada usia ini, saya perlukan teman. Akhirnya mereka bersetuju,” katanya.