Senarai perkhidmatan CIMB yang dikenakan caj SST 8 peratus

Senarai perkhidmatan CIMB yang dikenakan caj SST 8 peratus
Pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST merupakan langkah kerajaan dalam memperluas hasil cukai negara. Bermula 1 Julai 2025, caj SST sebanyak 8 peratus dikenakan terhadap beberapa perkhidmatan yang disediakan institusi kewangan.
Antara yang terlibat termasuk senarai perkhidmatan CIMB yang akan mengenakan cukai SST.
Sebelum itu, penting untuk anda tahu bahawa perkhidmatan sedia ada di bawah ini sudah dikenakan cukai perkhidmatan sebelum pengumuman pelaksanaan caj SST kali ini.
Perkhidmatan sedia ada yang telah dikenakan cukai perkhidmatan termasuk insurans dan takaful, kad kredit atau kad caj, pengurusan kewangan, perundingan atau penasihatan kewangan termasuk Penasihat Korporat, Pasaran Modal Hutang dan Pasaran Modal Ekuiti, Broker dan penjamin.
Bagaimanapun, perkhidmatan kewangan digital telah diberi pengecualian oleh Menteri sehingga 31 Julai 2025.
Berikutan pelaksanaan peluasan SST kepada 8 peratus ini, CIMB telah mengeluarkan senarai rasmi perkhidmatan yang terlibat.
Fasa pertama bagi perkhidmatan CIMB melibatkan pasaran hutang iaitu yuran perkhidmatan pengatur atau ejen kemudahan, yuran agensi dan caj pentadbiran. Caj untuk kiriman wang ke luar negara turut dikenakan kepada pelanggan yang berada di Malaysia.
Selain itu, yuran atau caj untuk produk Islamik turut tertakluk kepada SST.
“Semua yuran atau caj untuk produk Islamik adalah tertakluk kepada SST melainkan ia berkaitan dengan mana-mana transaksi atau pengaturan kewangan Islam yang ditawarkan atau disediakan oleh mana-mana Penyedia Perkhidmatan Kewangan yang dikawal selia yang mengenakan yuran, komisen atau pembayaran serupa mengikut prinsip Syariah.
“Perkhidmatan sedemikian adalah pengaturan atau transaksi tambahan yang diperlukan untuk tujuan mematuhi prinsip tersebut tetapi yang tidak akan diperlukan untuk perkhidmatan atau produk kewangan konvensional yang serupa atau setara, untuk memastikan kesamarataan dalam perlakuan cukai antara transaksi atau pengaturan kewangan Islam dan transaksi atau pengaturan kewangan bukan Islam,” jelas CIMB.
Pembelian hartanah kediaman dan komersial di Malaysia juga akan dikenakan caj SST bagi perkhidmatan bank berkaitan kemudahan pinjaman atau pembiayaan, termasuk yuran pentadbiran, yuran pemprosesan dan caj lain-lain.
Bagaimanapun, caj yang bersifat hukuman atau punitif tidak akan dikenakan SST. CIMB turut mengenakan beberapa pengecualian caj SST bagi beberapa perkhidmatan yang boleh dirujuk di laman rasmi CIMB. Ia termasuk pengeluaran kad debit, transaksi asas di kaunter, transaksi asas menggunakan ATM dan cetakan penyata akaun.
Bagi caj sedia ada, tiada perubahan atau penambahan SST ke atas Cukai Perkhidmatan RM25 yang dikenakan pada kad kredit. Yuran tahunan kad kredit juga kekal seperti sebelum ini tanpa sebarang perubahan kadar.
Setelah mengetahui perkhidmatan yang tertakluk caj SST, berikut SK kongsikan cara pengiraan caj berkenaan.
Jika bank mengenakan caj sebanyak RM10 kepada pelanggan, caj SST 8 peratus daripada jumlah RM10 adalah RM0.80. Oleh itu, pelanggan perlu membayar sebanyak RM10.80 sebagai jumlah keseluruhan.
CIMB turut memaklumkan akan berlaku perbundaran kepada dua titik perpuluhan terdekat, jika berkaitan.
Pihak CIMB menggalakkan pelanggan merujuk maklumat terkini dan terperinci di laman rasmi institusi perbankan berkenaan agar lebih bersedia menghadapi pelakasanaan SST 8 peratus ini.
Sumber: SK