Cikgu dari Malaysia ‘kantoi’ curi kad kredit, puluhan ribu yen di Jepun

Cikgu dari Malaysia ‘kantoi’ curi kad kredit, puluhan ribu yen di Jepun
Seorang cikgu sambilan dari Malaysia ditahan kerana mencuri kad kredit dan wang tunai berjumlah puluhan ribu yen ketika berlangsung aktiviti bola keranjang di sebuah kelab sukan di Jepun.
Media tempatan, Tokyo Tweet memuat naik video kejadian di laman X, yang mana guru itu menyelongkar satu daripada beg yang diletakkan di tepi gelanggang.
Ketika kejadian, kelab sukan yang berpangkalan di bandar Takatsuki, wilayah Osaka itu sedang menjalankan aktiviti bebas di antara ahli kelab.
Menurut laporan media tempatan, pihak polis memaklumkan guru terbabit menyamar sebagai warga tempatan untuk memasuki kelab bola keranjang berkenaan.
“Lelaki warga Malaysia itu dikenali sebagai Wong Ka Fei, 26, seorang pensyarah sambilan.
“Dia ditahan kerana disyaki mencuri kad kredit dan wang tunai di mana beliau menyamar sebagai warga tempatan untuk masuk kelab terbabit buat pertama kali,” kata polis.
Sementara itu, seorang daripada ahli kelab sukan terbabit yang menjadi mangsa, menyatakan beliau kehilangan kad kredit dan beberapa wang tunai bernilai ribuan yen.
“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah puluhan ribu yen dalam bentuk tunai dan kad kredit,” tambah pihak polis.
Wong yang ditahan kemudiannya mengaku beliau mencuri beberapa kad kredit namun beliau mendakwa tidak tahu menahu mengenai kehilangan wang tunai di tempat kejadian.
Pihak polis turut memberitahu terdapat beberapa kejadian sama yang berlaku di bandar Takatsuki dan mereka kini sedang menyiasat sama ada Wong terbabit dalam kes berbeza.
Sementara itu, di ruangan komen media sosial, rata-rata rakyat Jepun mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap warga negara asing yang membuat kekacauan di negara mereka.
“Perkara seperti ini normal bagi warga asing yang ada di sini. Sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah yang serius untuk menanganinya,” tulis seorang daripada netizen.