Syarikat Terengganu, Chicken Cottage buka cawangan ke-67 di London buat ramai bangga
Syarikat Terengganu, Chicken Cottage buka cawangan ke-67 di London buat ramai bangga.
Selain DFC, salah satu jenama makanan segera halal berkualiti lain yang berada di dalam pasaran adalah Chicken Cottage yang mana cukup terkenal di negeri Terengganu pada suatu ketika dahulu.
Perkembangan terbaharu Chicken Cottage, jenama makanan segera halal milik anak syarikat Terengganu Inc, telah mencipta sejarah dengan pembukaan cawangan terbarunya yang ke-67 di Camden Town, London dipetik dari laman TRDI.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pembukaan premis terbaru itu sebagai pencapaian penting bukan hanya untuk jenama itu tetapi juga untuk ekonomi setempat.
“Pembukaan outlet baharu Chicken Cottage di Camden Town ini bukan sahaja mencerminkan daya saing jenama ini di pentas antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi tempatan.
“Kami berbangga dengan pencapaian jenama ini dan berharap agar syarikat ini terus berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Pembukaan ‘Outlet’ di sini.
Difahamkan majlis pembukaan ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 Chicken Cottage, yang kini semakin kukuh di United Kingdom (UK), walaupun industri makanan dan hospitaliti berdepan pelbagai cabaran.
Chicken Cottage telah menempa reputasi sebagai jenama makanan halal berkualiti dengan kehadiran lebih 60 cawangan di UK termasuklah di kota besar seperti Glasgow, Cambridge, Newcastle, Oxford, dan Canterbury.
Dalam pada itu, Burhanuddin Hilmi juga mengulas tentang sambutan hangat pelanggan terhadap jenama tersebut yang memiliki pelbagai menu untuk memenuhi cita rasa ramai.
“Camden ialah ‘outlet’ ke-10 yang dibuka pada tahun 2024, melengkapkan rangkaian outlet di lokasi strategik lain seperti Carnoustie, Hemel Hempstead, Hounslow East, Northwood Hills, Houghton Regis, Chiswick, Holloway Road, Aylesbury dan Borough High Street.
“Ini adalah bukti komitmen Chicken Cottage untuk terus berkembang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Greg Milne yang menerajui syarikat ini telah melakukan pelbagai transformasi sejak 2 tahun lalu dengan memperkenalkan reka bentuk dalaman moden, kios digital, serta aplikasi mudah alih bagi memudahkan pelanggan membuat pesanan.
Tambahnya, dengan pembukaan outlet di Camden ini turut memperlihatkan kekuatan dan daya tahan Chicken Cottage untuk terus berkembang di pasaran UK.
“Pada saat banyak syarikat lain terpaksa mengurangkan operasi, Chicken Cottage tetap memilih untuk berkembang dengan yakin, sekali gus membuktikan asas kukuh jenama tersebut serta komitmen mereka dalam menyediakan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.
“Kehadiran outlet terbaru ini bukan sahaja memudahkan penduduk Camden menikmati hidangan halal berkualiti, tetapi turut menarik perhatian pelancong yang mengunjungi London,” jelasnya.
Menariknya, Chicken Cottage kini memperkukuh visinya di peringkat global dengan merancang pembukaan dua lagi outlet di Oban dan Brixton sebelum akhir tahun ini.
Selain mengukuhkan kehadiran di UK, Chicken Cottage juga bakal melebarkan empayarnya ke Afrika dan Timur Tengah dengan penambahan tujuh outlet baru di Kenya serta beberapa outlet di Oman.