Che Ta mahu gajikan menantu pembantu rumah
Pelakon jelita Rozita Che Wan berkata dia sedia untuk menggajikan pembantu rumah demi keselesaan menantunya apabila berkahwin dengan anak sulungnya, Ammar Affendy.
Memetik Kosmo, Rozita atau Che Ta berkata sejak kecil ketiga-tiga anaknya kurang tahu melakukan kerja rumah kerana hanya diminta untuk fokus pada pelajaran sahaja.
“Semuanya kerana silap saya sendiri yang meminta mereka tumpukan sahaja perhatian pada tugasan berkaitan sekolah, manakala urusan buat kerja rumah saya atau pembantu yang selesaikan.
“Kalau dah kahwin nanti saya tak yakin dia boleh tolong isterinya mengemas ataupun buat kerja di dapur sebab buang sampah pun dia geli. Jadi nak ringankan beban menantu saya tak kisah ambil pembantu rumah untuk mereka.
“Saya pun sejak kahwin dulu Zain (suami) ambil pembantu rumah untuk tolong saya. Tiada masalah pun, janji menantu ‘happy’, saya pun senang hati,” katanya.
Dalam pada itu, Che Ta berkata dia tidak kisah jika anak menantunya tinggal dirumahnya selepas berkahwin untuk permulaan.
“Saya tak kisah kalau mereka nak tinggal asing tapi duduk di rumah saya untuk permulaan membina kehidupan baru pun saya tak kisah walaupun ada orang cakap jangan duduk dengan mentua.
“Di rumah saya sekarang tak sampai 10 orang termasuk mak mentua. Kalau mereka mahu tinggal sekali, Alhamdulillah,” katanya.
Terdahulu, Che Ta berkata dia teruja untuk merisik bakal menantunya serta lega anak sulungnya, Ammar Effendy memilih wanita berhijab daripada keluarga yang mementingkan agama.