Chagee mohon maaf isu staf asingkan cawan ‘Tear & Win’, akan siasat & bakal tukar item kepada kod QR

Chagee mohon maaf isu staf asingkan cawan ‘Tear & Win’, akan siasat & bakal tukar item kepada kod QR

 

Chagee mohon maaf isu staf asingkan cawan ‘Tear & Win’, akan siasat & bakal tukar item kepada kod QR.

Jenama rangkaian minuman teh popular, Chagee minta maaf berhubung isu penularan video membabitkan kempen ‘Tear & Win’ yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan di media sosial, Chagee Malaysia menegaskan bahawa tingkah laku pekerjanya dalam video tular sebelum ini tidak mencerminkan ‘standard’ ditetapkan oleh pihaknya.

Dalam kenyataan tersebut, Chagee mengesahkan bahawa saisatan terperinci sedang dijalankan dan memberi jaminan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Ia selaras dengan nilai teras Chagee Malaysia selama ini.

“Kami amat menyesal atas segala persepsi negatif yang telah timbul. CHAGEE mengambil maklum tentang perkara ini dengan sangat serius bagi memastikan pengalaman yang positif untuk semua pelanggan.

“Dengan itu, pihak CHAGEE sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan nilai teras kami.

“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan cawangan yang terlibat untuk mengkaji semula prosedur operasi agar memastikan standard tertinggi dipatuhi,” katanya dalam kenyataan itu.

Maklum Chagee, pihaknya juga akan melakukan penambahbaikan dalam kempen seterusnya dengan menggantikan item fizikal di dalam cawan dengan slip Kod Respons Pantas (QR).

Proses penambahbaikan itu dijangka bermula pada Disember depan itu akan membantu pelanggan terutama dalam memastikan penebusan hadiah berjalan dengan lancar.

“Bermula pada bulan Disember, CHAGEE Malaysia akan menggantikan item fizikal dalam cawan ‘Big Big Cup’ dengan slip kod QR bagi memastikan proses yang lebih lancar.

“Dengan mengimbas kod QR, pelanggan kami hanya akan dapat melihat hasil cabutan bertuah selepas proses imbasan. Kepercayaan anda amat penting bagi kami. CHAGEE Malaysia komited untuk terus menambah baik bagi memastikan pengalaman terbaik untuk semua pelanggan kami.

“Pihak kami turut memastikan isu berkenaan acara Tear & Win diselesaikan dengan kadar segera bersama Bahagian Khidmat Pelanggan CHAGEE. Kepercayaan dan sokongan anda, amat kami hargai.” jelasnya dalam kenyataan.

Terdahulu, kecoh di media sosial pabila netizen dakwa pekerja minuman teh viral terkenal, Chagee telah membuat penipuan ketika promosi menyambut ulang tahun yang ketujuh, baru-baru ini.

Isu berkenaan telah mendapat perhatian pihak pengurusan Chagee sendiri dan tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai tindakan salah seorang pekerjanya.

Menurutnya, pekerja berkenaan telah diberi arahan untuk memeriksa bekas minuman berkenaan sama ada mempunyai hadiah atau tidak.