Wanita terkejut caj parkir KLIA lebih RM2,000

Wanita terkejut caj parkir KLIA lebih RM2,000

 

Wanita terkejut caj parkir KLIA lebih RM2,000

Tular klip video di TikTok memaparkan caj parkir melebihi RM2,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hingga mengejutkan orang ramai.

Video yang dikongsi oleh pengguna TikTok, @yaya.tasha memaparkan dia memasukkan nombor pendaftaran keretanya di kios parkir KLIA sebelum terkejut melihat caj parkir dikenakan sebanyak RM2,084.

Caj `luar biasa’ itu dikenakan selepas individu terbabit meninggalkan kenderaannya di parkir KLIA selama 13 hari.

Rakaman itu turut menampilkan reaksinya yang terkejut, lengkap dengan bunyi latar “Oh no!” yang menambah elemen humor situasi itu.

“Tak tahu la nak suka atau duka,” katanya dalam ruangan kapsyen video itu.

Caj parkir di lapangan terbang sememangnya diketahui lebih mahal berbanding lokasi lain, namun jumlah itu tetap membuatkan ramai terkejut.

Sehingga kini, video itu meraih 444,500 tontonan dan 3,700 tanda suka selain mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Seorang pengguna, @zerth.roy, meluahkan rasa tidak percaya: “RM2,000 untuk 13 hari? Hotel lima bintang pun tak semahal ini.”

Manakala seorang lagi pengguna, @matshahh8, secara berseloroh menawarkan diri menjadi pemandu peribadi separuh masa dengan bayaran yang sama:

“Saya akan jaga kereta, cuci, bawa beg, dan belanja makan sekali,” tulisnya.

Namun, terdapat juga netizen yang mempertahankan kadar caj itu dengan menyatakan ia adalah wajar memandangkan tempoh parkir yang lama.

Insiden itu membuka mata ramai mengenai kos tinggi ketika menggunakan perkhidmatan parkir di lapangan terbang.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pengguna disarankan mempertimbangkan pilihan lain seperti perkhidmatan e-hailing atau parkir alternatif untuk mengelakkan menerima kejutan sama.