Butang ’emergency’ di pam minyak rupanya boleh ditekan jika nampak kereta asing isi minyak kuning

Butang ’emergency’ di pam minyak rupanya boleh ditekan jika nampak kereta asing isi minyak kuning

 

Butang ’emergency’ di pam minyak rupanya boleh ditekan jika nampak kereta asing isi minyak kuning

Umum mengetahui, minyak petrol bersubsidi RON95 hanya boleh digunakan oleh kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia sahaja.

Bagaimanapun, masih ada segelintir warga asing yang memandu kereta dari luar negara yang mengisi RON95 memandangkan harganya jauh lebih murah berbanding RON97.

Sebagai rakyat Malaysia, kita pasti akan berasa marah jika melihat kejadian tersebut, selain merakam untuk dijadikan bahan bukti, kita sebenarnya boleh bertindak menghentikannya.

Baru-baru ini, seorang lelaki yang juga pekerja stesen minyak Petronas di Sri Hartamas, Kuala Lumpur berkongsi kegunaan butang ‘emergency’ yang ada pada setiap pam minyak.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun Instagram @petronassrihartamas, pekerja Petronas yang dikenali sebagai Jamal itu menyatakan bahawa butang terbabit bukan hanya boleh ditekan oleh staf sahaja, malah orang awam juga boleh menekannya.

“Bila korang tekan butang ini (emergency), semua minyak yang keluar akan automatik berhenti keluar daripada pam, korang tekan ‘nozzle’ pun tak akan keluar, jadi jangan takut untuk tekan jika berlakunya kecemasan,” katanya.

Menurut Jamal, kecemasan yang dimaksudkan adalah seperti kebakaran dan berlaku ketumpahan minyak akibat kerosakan nozzle dan sebagainya.

Jelas lelaki itu, selain perkara terbabit, orang awam juga boleh menekan butang kecemasan berkenaan sekiranya melihat kenderaan dengan nombor pendaftaran asing mengisi RON95.

Jika sebelum ini, kita hanya melihat, menegur dan merakam kejadian warga asing mencuri RON95, kini kita boleh menghentikannya.

Sekadar info, pengusaha stesen minyak yang membiarkan kenderaan asing mengisi RON95 boleh diambil tindakan mengikut Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Peraturan 21(1) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Pengusaha stesen minyak boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.