“Buta ja kena dok dalam 8 hari” – Kes keropok beracun, pemilik kebun akhirnya buka cerita sebenar

“Buta ja kena dok dalam 8 hari” – Kes keropok beracun, pemilik kebun akhirnya buka cerita sebenar

 

Kira-kira sebulan lalu, negara dikejutkan dengan tragedi keropok beracun yang mengakibatkan dua beradik berusia 2 dan 3 tahun meninggal dunia kerana termakan makanan tersebut.

Dilaporkan, keropok berkenaan diambil dari kebun jirannya yang digantung di tepi pagar untuk kegunaan menghapuskan haiwan perosok.

Selepas pelbagai proses termasuklah ditahan bagi membantu siasatan, pemilik kebun dikenali sebagai Uzair Sahfawi tampil menceritakan hal sebenar dari pihaknya susulan pelbagai tuduhan serta dakwaan dilemparkan kepadanya tanpa usul periksa.

Dalam perkongsian di Facebook, Uzair menyatakan bahawa dialah pemilik kebun berkenaan dan menganggap kelalaian penjaga kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut menjadi punca kejadian tersebut berlaku.

Menurut Uzair, keropok beracun itu telah diletakkan di atas pagar yang tinggi dan secara logiknya memang kanak-kanak berusia dua hingga tiga tahun memang tidak akan boleh mengambilnya.

Kedudukan keropok tersebut juga bukan di tepi jalan tetapi di dalam pagar bersebelahan hutan kawasan laluan monyet serta kebun pisang yang diusahakan..

Tambahnya, jika kanak-kanak berkenaan mengambil keropok tersebut dan membawa pulang, boleh jadi ia bukan miliknya kerana memang penduduk kampung di situ melakukan hal sama serta terdapat beberapa lagi kebun orang lain di lokasi berkenaan.

Apa yang membuatkan Uzair ralat adalah tindakan sesetengah wartawan yang tidak datang ke kediamannya bagi mendapatkan penjelasan dan hanya ke rumah datuk kepada mangsa sahaja.

Jelas pemilik kebun terbabit, datuk kepada kanak-kanak berkenaan difahamkan telah memutar belit beberapa fakta memandangkan orang kampung tahu tentang realiti sebenar keluarga mangsa.

“Aku boleh ceritakan perkara sebenar tapi haram sorang pon tak mai rumah aku…

“Yang mai rumah aku adalah pihak polis ja. Bagi aku, pihak polis memang terbaik. Aku difitnah disebabkan tok kepada mangsa reka cerita bukan-bukan…

“Kalau ikut kehendak aku, aku nak saman ja tok kepada budak-budak ni.. Boleh datang kampung aku dan tanya orang kampung bedekatan rumah budak-budak tu…

“Memang depa abai budak-budak tu. Anak yang nombor dua tu, mak dia bukan beranak dekat hospital, tapi beranak dalam bilik air. Budak-budak tu memang terabai dari kecil lagi, boleh tanya orang kampung sini,” tulisnya.

Ujar Uzair lagi, sepatutnya menerusi kes tersebut, penjaga kepada mangsa turut perlu ditahan bagi berlaku adil kerana mengabaikan anak-anak sehingga boleh berjalan sejauh 100 meteri memasuki semak dan hutan ke kawasan rumahnya kira-kira 100 meter.

Dia juga menegaskan bahawa aduan terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar & Taman Negara (PERHILITIAN) juga sudah berkali-kali dibuat namun haiwan perosak tetap ada sehingga menjejaskan sumber pendapatannya serta peduduk kampung.

Walau bagaimanapun, dia mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tetap menyokongnya dan percaya dengan apa yang dijelaskan sebelum ini.

Uzair turut berkongsi video keadaan kebun yang jauh dari rumah serta dikelilingi hutan dan semak serta tempat keropok beracun itu diletakkan sebagai bukti ia tidak berada di tepi jalan sehingga mampu diambil kanak-kanak kecil jika dia dijaga dengan baik oleh pihak penjaga.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan berita dua beradik berusia 2 dan tiga tahun meninggal dunia selepas termakan keropok beracun yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.