Sempena Ramadan, ini penambahbaikan PKNPk bagi meriahkan Bulatan Sultan Azlan Shah

Sempena Ramadan, ini penambahbaikan PKNPk bagi meriahkan Bulatan Sultan Azlan Shah

 

Sempena Ramadan, ini penambahbaikan PKNPk bagi meriahkan Bulatan Sultan Azlan Shah

Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) bertempat di Meru memeriahkan tradisi sambutan Ramadan al-Kareem kali ini melalui penganjuran Bazar Ramadan yang menyajikan kepelbagaian citarasa makanan tradisi dan viral di bandaraya Ipoh.

Penganjuran tahun ketiga sejak tahun 2023 telah memperlihatkan penambahan lot perniagaan daripada 100 lot kepada 121 lot pada tahun ini.

Terkenal dengan jolokan Bazar Ramadan Terpanjang di Perak, ia dijangkakan akan menerima pengunjung seramai 120,000 orang berbanding 70,000 pada tahun 2024.

Menurut Datuk Redza Rafiq bin Abdul Razak, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan  Negeri Perak (PKNPk), “Bazar Ramadan @ BSAS menawarkan platform penting bagi  para usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan, khususnya  sepanjang bulan Ramadan.”

“Keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar  mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang  merupakan tulang belakang ekonomi tempatan.”

Bulatan Sultan Azlan Shah

“Langkah ini selari dengan matlamat  Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan memperkasakan PKS dan mencipta peluang  ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Perak.”

“Selain itu, Bazar Ramadan @ BSAS juga berfungsi sebagai pusat komuniti bagi  menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian sosial.”

“Ianya bukan  sekadar tempat untuk berbelanja tetapi juga mampu menjadi ruang bagi penduduk  tempatan untuk berkumpul, berinteraksi dan meraikan bulan Ramadan bersama sama.”

“Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di Bazar Ramadan @ BSAS ini tidak hanya  menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat di Perak, tetapi juga mampu mengeratkan silaturrahim dalam komuniti.”

“Dalam tempoh 3 minggu, kesemua 121 lot di Bazar Ramadan @ BSAS iaitu lot silver dan gold habis ditempahKedua-dua lot ini menjadi rebutan dalam kalangan peniaga kerana ianya menawarkan pengalaman berbeza pada tahun ini.”

“Berbeza dengan  tahun 2024, peniaga yang mengambil pakej Gold dibenarkan untuk meletakkan kerusi  dan meja untuk pelanggan menikmati juadah berbuka puasa di situ. Masa operasi  bazar pada kali ini dipanjangkan bermula pada jam 4.00 petang hingga 12.30 tengah  malam.”

Menyentuh mengenai kemudahan di BSAS, Datuk Redza berkata, “PKNPk amat peka dengan isu yang dibangkitkan oleh para pengunjung pada tahun lepas iaitu kesesakan lalu lintas dan bilangan parkir kenderaan.”

“Pada tahun ini, pihak PKNPk telah menyediakan parkir kenderaan tambahan sebanyak 500 lot yang terletak bersebelahan Menara A dan Menara B PKNPk, serta sekitar Rumah Tradisional Melayu.”

“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, PKNPk turut melantik RELA sepanjang Bazar Ramadan ini berlangsung.”

Bulatan Sultan Azlan Shah

“Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 pada hujung minggu.”

“PKNPk turut melaksanakan langkah pro aktif dengan menambak laluan berbatu dengan bahan quarry dust bagi memperkemaskan laluan pejalan kaki agar lebih lapang dan selesa.”

“Kemudahan surau dan tempat wuduk yang selesa bagi lelaki dan wanita turut disediakan yang boleh memuatkan sebanyak 40 jemaah dalam satu satu masa.”

“Pihak PKNPk telah memperuntukkan sebanyak RM970 ribu bagi memasang 75 unit lampu solar di BSAS melalui anak syarikatnya PIRSB Sdn Bhd.”

“Ini membolehkan para pengunjung berbuka puasa bersama keluarga sambil menikmati panorama Banjaran Titiwangsa dan Kledang Saiong.”

“Bersempena sambutan bulan Ramadan PKNPk merancang untuk menganjurkan Solat Terawih Mega. Pihak PKNPk sedang berbincang dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak berkaitan prosedur dan tatacara penganjuran program ini.”

“Dijangkakan seramai 1000 orang akan bersama-sama menunaikan Solat Terawih Mega tersebut,” tambah beliau lagi.