Budak 7 tahun didakwa kena lempang dua kali, kepala terhantuk di dinding sekolah

Budak 7 tahun didakwa kena lempang dua kali, kepala terhantuk di dinding sekolah

 

Budak 7 tahun didakwa kena lempang dua kali, kepala terhantuk di dinding sekolah

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didakwa telah dipukul menggunakan tangan serta dilempang dua kali sehingga kepalanya terhantuk pada dinding sekolah di Jalan Abdul Rahman, Johor Bahru.

Memetik Kosmo, pengadu, Muhammad Nazirul Ekhmal Zairudin, 24, ternampak kejadian yang berlaku pada tengah hari semalam ketika mahu mengambil anak jagaan pusat perlindungan di sekolah tersebut.

Jelasnya, dia melihat pelaku seorang bapa memukul anak jagaannya itu selain mendakwa mangsa yang dikenali sebagai Syamir telah mengganggu anaknya.

“Saya nampak lelaki itu memukul anak jagaan saya menggunakan tangan, dia turut menarik telinga Syamir dari dalam sekolah sehingga ke luar sekolah.

“Dia juga melempang Syamir sebanyak dua kali sehingga terhantuk kepala di dinding sekolah.

“Dia juga ada mengugut jika warden atau guru datang, dia akan memukul Syamir di hadapan mereka,” katanya.

Menurutnya, akibat itu mangsa yang juga penghuni pusat perlindungan berkenaan mengalami lebam di kepala dan trauma.

Susulan itu, Nazirul membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berhubung kejadian terbabit.

Jelasnya, dia bertindak sedemikian kerana bimbang dengan keselamatan anak jagaannya itu pada masa hadapan.

“Saya datang ke balai buat laporan kerana mahu tindakan selanjutnya dan bimbang keselamatan anak jagaan saya,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran pengasas Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal, Herman Sudir berhubung perbuatan lelaki terbabit.

Menerusi hantaran itu, Herman mendakwa mangsa merupakan anak yatim yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke pusat perlindungan itu.

Dia juga menegur tindakan pelaku yang bertindak tanpa memikirkan undang-undang dan sepatutnya dia menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak.

“Tiba-tiba engkau nak pukul budak ni macam tiada orang tua jaga dia?

“Sebab dia datang dari rumah kebajikan engkau ingat boleh belasah macam gitu? Dia takde orang sayang dan jaga?”

Dalam hantaran lain, Herman menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan undang-undang bagi mendapatkan keadilan.

Namun tegasnya, sekiranya anak di rumah perlindungannya didapati bersalah, kanak-kanak berkenaan tetap akan didenda mengikut prosedur serta dihantar menjalani khidmat kaunseling.