Botol hanyut di laut berisi surat berusia 16 tahun lalu ditemui

Botol hanyut di laut berisi surat berusia 16 tahun lalu ditemui

 

Botol hanyut di laut berisi surat berusia 16 tahun lalu ditemui

Sebuah botol misteri berisi sepucuk surat ditemui seorang lelaki ketika bersiar-siar pada waktu pagi, 26 November lalu. Botol kaca berwarna hijau itu dipenuhi teritip ketika ditemui di pesisir pantai Peterborough, Australia.

Menerusi perkongsian Chris van Kempen di laman Facebook, botol misteri itu dihanyutkan dari Lautan Atlantik, 80 batu dari arah timur Brazil.

“Malangnya, tiada jin di dalam botol ini,” seloroh Chris.

Botol misteri itu sebenarnya mengandungi surat yang ditulis oleh Joe Johnson sebagai salah satu uji kajinya untuk mengetahui jarak dan tempoh botol tersebut hanyut di lautan.

Rupa-rupanya, botol misteri ini merupakan salah satu daripada beberapa lagi botol yang telah dihanyutkan Johnson.
“Salam sejahtera. Rasa ingin tahu anda mendatangkan hasil. Terima kasih kerana meluangkan masa memeriksa isi botol yang anda temui ini. Saya telah menghanyutkan beberapa lagi botol seperti ini di beberapa tempat lain di beberapa lautan berbeza dalam dunia ini. Saya mengharapkan insan seperti anda akan menemui botol ini dan kembalikannya kepada saya di Amerika Syarikat,” tulis Johnson.

Johnson turut menawarkan bayaran sebanyak USD20 kepada individu yang menemui dan mengembalikan botol itu kepadanya.

“Botol ini dihanyutkan dari Lautan Atlantik pada 3 November 2008 sekitar 80 batu dari arah timur Brazil, Amerika Selatan,” katanya lagi.

Berikutan penemuan ini, portal berita ABC Melbourne menemu bual Johnson bagi mengetahui lebih lanjut berkenaan penemuan ini. Johnson mengesahkan botol tersebut merupakan salah satu botol yang dihanyutkannya ketika mengikuti beberapa siri pelayaran mengelilingi dunia.

Johnson yang dipercayai kini berusia 89 tahun, memberitahu botol tersebut dihanyutkan ketika dia berlayar di antara Rio dan Salvador, Brazil.

“Saya telah ke Australia dan mungkin juga pernah menghanyutkan beberapa botol di perairan sana. Tetapi yang ini dari Brazil.
“Banyak pelayaran yang saya dan isteri ikuti tetapi saya tak ingat pula botol yang itu. Mungkin ada satu atau dua botol yang saya hanyutkan di setiap pelayaran yang kami ikuti. Ini sememangnya  satu perkara yang menarik terutamanya ia datang dari Brazil hingga ke Asutralia,” luahnya.