“Bos belum sampai” – Mesyuarat pukul 9 pagi, wanita kecewa kena ‘sidai’ di pejabat kerajaan

“Bos belum sampai” – Mesyuarat pukul 9 pagi, wanita kecewa kena ‘sidai’ di pejabat kerajaan

 

Seorang wanita meluahkan rasa kekecewaan apabila masanya terbazir begitu sahaja selepas wakil sebuah pejabat kerajaan lewat untuk mulakan mesyuarat.

Menerusi tangkap layar dikongsikan X.com @drfitriyusof, wanita itu menjelaskan beliau mempunyai mesyuarat bersama wakil sebuah pejabat kerajaan yang sepatutnya bermula pada pukul 9 pagi.

Bagaimanapun pintu bilik mesyuarat hanya dibuka pada pukul 9.06 pagi dan mesyuarat terpaksa ditangguh kerana bos masih belum sampai lagi.

“Keletihan mental di awal pagi. Mesyuarat pukul 9.00 pagi, kami sampai jam 8.47 pagi. Pukul 9.06 pagi, bilik mesyuarat dibuka, 9.07 pagi pegawai beritahu untuk minum pagi dahulu kerana mereka sediakan makan pagi dan bos belum sampai.

“Pukul berapa mesyuarat nak mula?” ujar wanita tersebut.

Image

Perkongsian itu tular di X.com dan ramai netizen berasa kurang senang apabila masa wanita itu terbuang begitu sahaja.

Tambah orang ramai lagi, budaya ‘minum pagi’ ketika waktu pejabat (selepas pukul 8 pagi) merupakan satu ‘barah’ yang perlu ditangani segera.

Ini kerana ia mengganggu produktiviti dan melengahkan masa rakyat yang lain.

Gara-gara segelintir pekerja kerajaan yang buat hal, habis satu badan kerajaan dicop ‘lembap’, ‘tak tepati masa’.

Menurut Vocket, mesyuarat hanya bermula pada pukul 9.36 pagi. Gara-gara kena ‘sidai’, beliau pula terlewat untuk ke mesyuarat yang seterusnya.