“Muka dia ganas tapi..” – Black Hanifah dedah sikap sebenar CEO Batu

“Muka dia ganas tapi..” – Black Hanifah dedah sikap sebenar CEO Batu
Pernah bekerjasama dengan pempengaruh dikenali CEO Batu, penyanyi Black Hanifah terkejut apabila mengetahui rakannya itu terlibat dengan kes amang seksual bukan fizikal kepada seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.
Bagaimanapun Black atau Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan menyerahkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas.
“Ketika dapat tahu kes CEO Batu ini memang terkejut dan tak sangka perkara itu terjadi.
“Saya tak mahu komen apa-apa sebab perkara ini pun masih dalam siasatan pihak berkuasa.
“Jadi saya rasa isu ini biarlah pihak berkuasa yang mencari keadilan siapa betul atau salah,” katanya kepada mStar.
Black berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Nyawa yang diadakan di Grand Premier Hall, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pada pagi Khamis.
Sudah menganggap CEO Batu atau Muhd Iqbal Mohd Nor seperti seorang adik, kata Black pempengaruh itu dikenali sebagai seorang individu yang baik.
“Dia sangat menjaga tutur bahasa bila bercakap. Dia juga suka berterima kasih walaupun muka dia ganas,” ujarnya.
Sementara itu, Black juga sempat menitipkan pesanan buat pempengaruh lain supaya menjauhkan diri daripada terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
Jelas Black, perkara itu akan memburukkan kredibiliti seseorang pempengaruh sehingga karier mereka boleh terkubur.
“Saya ingin nasihatkan kepada rakan-rakan dan pempengaruh lain untuk jaga diri kerana akan merosakkan kredibiliti sebagai pempengaruh yang dikenali.
“Kerjaya anda akan ‘habis’ macam itu sahaja. Saya tak naklah jadi begitu sebab sayang, rezeki Allah bagi ini bukan datang dengan mudah,” jelasnya.
Pada pagi Khamis, CEO Batu didakwa atas kesalahan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Bagaimanapun pempengaruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah juga menetapkan 14 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(a) (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda boleh sampai RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.