Lulusan SPM tidak halang suami isteri jana pendapatan RM300k sebulan dengan bisnes sewa kereta

Lulusan SPM tidak halang suami isteri jana pendapatan RM300k sebulan dengan bisnes sewa kereta

 

Lulusan SPM tidak halang suami isteri jana pendapatan RM300k sebulan dengan bisnes sewa kereta

Selepas dua tahun berkahwin, Nur Hafiza Hashim bersama suaminya, Md Sahril Mohd Salehen membuat keputusan melibatkan diri dalam sektor pelancongan dengan membuka perniagaan menyediakan perkhidmatan kereta sewa pada 2012.

Dengan berbekalkan modal awal sebanyak RM6,000 dan sijil lesen pengendalian pelancongan dan agensi pengembaraan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pasangan suami isteri ini bermula tanpa sebarang kenderaan dengan membantu memasarkan perkhidmatan sewaan kereta milik kenalannya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, langkah awal tersebut ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya memperoleh pendapatan agak lumayan mencecah RM20,000 sebulan.

Malah, dalam tempoh enam bulan pertama, mereka juga terpaksa mengambil sebanyak dua orang pekerja bagi membantu operasinya yang pada ketika itu turut menguruskan sebanyak kira-kira 20 kereta yang dipajak untuk disewakan.

Kini, selepas lebih sedekad, Anggun Lufya Travel & Tours Sdn Bhd (Anggun Travel) boleh berbangga apabila pendapatan lima angka yang diperolehi sudah meningkat kepada enam angka iaitu mencecah lebih RM300,000 sebulan.

Nur Hafizah (duduk, tiga dari kanan) dan Md Shahrel (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama petugas Anggun Travel.

“Kami bermula dengan tidak ada kereta. Cuma kita ada kenalan yang buat kereta sewa. Lepas itu cuba cari seorang dua yang nak pajak kereta mereka dengan kami.

“Kemudian kami cuba buat pemasaran dana selepas itu terus berkembang sampai kami pernah urus sebanyak 120 kereta pada 2019,” kata Nur Hafizah yang kini berusia 37 tahun kepada Majoriti.

Pada satu ketika, Anggun Travel turut mempunyai empat cawangan termasuk di bahagian Utara Semenanjung.

Bagaimanapun, tiga daripadanya terpaksa ditutup ekoran daripada impak pandemik Covid-19 dengan kebanyakan daripada kenderaan dipajak terpaksa dipulangkan kembali kepada pemiliknya.

Nur Hafiza berkata, Anggun Travel yang beroperasi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur kini mempunyai sebanyak 70 kereta sewa di bawah operasinya.

Menurutnya, kereta sewa ditawarkan juga meliputi kereta mewah daripada jenama BMW, Mercedes Benz dan Toyota.

“Kemudian kereta kita kesemuanya keluaran 2020 dan ke atas,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang dan berkenalan dengan suaminya dari media sosial sebelum berkahwin pada 2010.

Nur Hafiza berkata, daripada kesemua kenderaan tersebut, 20 daripadanya dimiliki syarikat manakala selebihnya adalah dipajak.

Sementara itu, wanita yang juga lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, selama lebih sedekad, pengembangan operasinya ditampung menerusi keuntungan yang diperolehi oleh syarikatnya.

Pendapatan lumayan, kos operasi tinggi

Selepas pandemik mereda, Md Shahrel, 39, berkata, dia dan isterinya kembali mengoperasikan perkhidmatan kereta sewa pada 2022.

Kini operasinya dibantu dengan enam orang pekerja dengan sebahagian besar daripadanya membantu menguruskan aspek pemasaran perkhidmatan dan penyelenggaraan kereta.

Menurut Md Shahrel yang pernah bekerja sebagai jurulukis di sebuah kilang sebelum menceburi bidang perniagaan berkata, meskipun memperoleh pendapatan agak lumayan, perniagaan kereta sewa memerlukan kepada kos operasi keseluruhan yang agak tinggi.

Ia meliputi antara lain penyelenggaraan kenderaan dan keperluan tenaga kerja.

“Kenderaan di bawah kita perlu diselenggara secara berkala. Kemudian kita juga buat penghantaran kereta kepada pelanggan.

“Jadi daripada segi pengurusan bahagian operasi agak tinggi,” ujarnya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Menurut Md Shahril, pada tempoh biasa, pihaknya secara purata menerima tempahan kereta sebanyak 80 tempahan seminggu.

Bagaimanapun, ketika tempoh puncak antaranya semasa cuti sekolah atau perayaan, jumlah tempahan akan meningkat kepada purata sebanyak 100 tempahan seminggu.

Kereta sewa digunakan untuk penjenayah

Selain kos operasi yang tinggi, Md Shahril berkata, antara cabaran lain yang perlu dihadapi dalam menyediakan kereta sewa adalah apabila kenderaan diberikan di salah guna bagi aktiviti jenayah.

Ujarnya, sepanjang lebih 10 tahun menjalankan perniagaan itu, pihaknya kerap kali berdepan dengan isu sedemikian.

Malah katanya, terdapat kejadian apabila kereta disewakan terpaksa ditahan oleh pihak berkuasa sehingga selama 4 tahun bagi selepas ia terbabit dalam satu kes jenayah dadah.

“Jadi bila berlaku macam itu, kita tak boleh nak menggerakkan kita punya aset ataupun dapat pendapatan daripada aset tersebut.

“Bila berlaku kes jenayah, ia melibatkan masa paling kurang minimum dua bulan untuk beri ruang kepada siasatan.

“Sebabnya kes itu juga perlu melalui kes mahkamah yang biasanya agak lama dan memakan kos. Paling lama saya pernah kena tahan dalam empat tahun.

“Jadi bayangkanlah selama empat tahun itu berapa kos kerugian yang ditanggung,” ujarnya.

Untuk meminimumkan risiko tersebut, Md Shahrel berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah antaranya dengan melakukan saringan terhadap pelanggan melalui pengesahan dokumen.

Dalam pada itu, bergerak ke hadapan, Shahrel berkata, Anggun Travel kini dalam proses untuk membangunkan platform untuk membolehkan jualan dan tempahan perkhidmatan dilaksanakan secara dalam talian.

Langkah itu menurutnya akan membolehkan operasi syarikat dijalankan secara lebih efisien di samping memaksimumkan keuntungan melalui pengurangan kos dan peningkatan kapasiti operasi.

“Perkara ini sedang dalam proses dimajukan dalam tempoh dua tahun hingga 2027,” ujarnya.

Selai itu menurutnya, Anggun Travel turut menyasarkan perluasan operasi dalam tempoh tersebut khususnya di sekitar Utara Semenanjung.

“Kita sasar dalam masa dua tahun ini kita beroperasi di tiga lokasi termasuk kawasan tengah dan Utara Semenanjung. Sebelum ini kita memang ada buka cawangan di Utara tapi terpaksa ditutup sebab pandemik.

“Jadi kita mungkin cuba buka balik. Kemudian selepas itu baru kita cuba luaskan operasi sekurang-kurangnya di seluruh kawasan Semenanjung,” kongsinya lagi.