“Bertahan 2 tahun terus kena terminate..” – Terpengaruh rakan, individu menyesal jadi ejen takaful sepenuh masa
Jika anda melayari media sosial, boleh lihat geng MLM atau insurans sering menayang gaya hidup mewah dan kereta mahal.
Kadang-kala sampai kita pula tertarik untuk menyertai mereka kerana mahu mencapai taraf hidup yang lebih baik.
Namun, semuanya indah khabar dari rupa kerana mereka tidak menunjukkan realiti sebenar menjadi ejen bukanlah suatu yang mudah seperti yang disangka.
Baru-baru ini, seorang individu meluahkan kekesalan bagaimana dia terjebak dengan menjadi ejen takaful sepenuh masa sehingga tidak mampu menanggung komitmen bulanan.
Difahamkan pada mulanya, individu ini mempunyai pekerjaan dengan gaji yang tinggi ditambah pula dengan persekitaran kerja yang baik sekaligus semuanya tampak sempurna.
Namun selepas dihasut oleh rakan-rakan, dia terus terpengaruh lalu pilih untuk menjadi ejen takaful sepenuh masa.
Tidak bertahan lama dalam kerjaya tersebut, dia mendedahkan telah diberhentikan selepas baru bekerja selama dua tahun.
Susulan itu, dia meluahkan rasa menyesal yang tidak berkesudahan kerana terpengaruh dengan rakan-rakan dan berhenti kerja di tempat lamanya yang jauh lebih baik.
Kini individu itu memaklumkan terpaksa melakukan pelbagai cara untuk membayar komitmen di dalam hidupnya. Dia malah dengan muka tebalnya meminta kerja di tempat lama namun tidak diendahkan lagi selepas itu.
Perkongsian individu itu telah meraih perhatian netizen dan ramai bersimpati dengan nasib yang ditimpa terhadapnya.
Lantas, netizen menasihati kepada orang ramai untuk tidak mempercayai kata-kata daripada ejen kerana selalunya mereka mahu merekrut orang baharu untuk meraih komisen sahaja.