Berniaga sambil bersedekah, peniaga tawar pelanggan tukar syiling 5 sen dengan durian

Berniaga sambil bersedekah, peniaga tawar pelanggan tukar syiling 5 sen dengan durian

 

Musim ‘raja buah’ yang sedang melanda negara ketika ini menyajikan pelbagai gelagat pembeli dan pelanggan antaranya ada yang menukarkan syiling 5 sen yang sudah jarang digunakan masa kini dengan sebiji durian.

Seorang pelanggan, Mid Jusof, 52, berkata, dia yang datang bersama isteri dan anak lelaki ke sebuah gerai menjual durian di Tumpat, tidak menyangka bertuah apabila memperoleh durian jenis kampung kahwin yang ditukar dengan 5 sen.

“Saya datang dari Pasir Mas nak belanja keluarga makan durian. Semasa penjual bertanya siapa-siapa ada 5 sen akan dapat sebiji durian, kebetulan 5 sen ada dalam poket seluar saya.

“Rezeki buat kami sekeluarga yang memang peminat durian dan akan membeli raja buah ini setiap kali musimnya tetapi ini kali pertama dapat durian dengan pertukaran syiling 5 sen,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mid (kiri) bersama anak lelakinya menunjukkan durian yang ditukar dengan 5 sen.

Mid (kiri) bersama anak lelakinya menunjukkan durian yang ditukar dengan 5 sen.

Sementara itu, peniaga durian yang tampil dengan tarikan itu, Shahmiazani Mohd Tanazi, 31, berkata, hanya berniat untuk bersedekah di samping berkongsi rezeki dan menceriakan pelanggan-pelanggan yang tidak putus-putus datang ke kedai miliknya sejak musim durian bermula.

Katanya, bukan 5 sen sahaja tetapi dia juga pernah membuat tawaran pertukaran durian jenis musang king, black thorn dan kunyit dengan syiling 1 sen serta 50 sen sebelum ini.

“Saya buat secara spontan, tanpa rancang apa-apa pun.

“Mana-mana pelanggan yang ada di kedai secara kebetulan, akan dapat durian jika saya buka tawaran menukar syiling-syiling yang sudah jarang digunakan sekarang dengan sebiji durian,” katanya.

Shahmiazani memberitahu, sejak musim buah itu, dia dapat menjual sebanyak 18 tan durian pelbagai jenis pada setiap hari kepada lebih 100 pelanggan yang datang.

“Mereka beli durian jenis kampung RM20 sebakul di dalamnya ada tujuh hingga 10 biji, durian kampung kahwin dijual RM8 hingga RM25 per kilogram dan musang king antara RM15 serta RM25 per kilogram.

“Terdapat juga jenis IOI, Udang merah dan D24, ditawarkan sekitar harga yang sama,” katanya.