Lelaki nasihatkan berhati-hati di Hat Yai, peniaga bertudung tak semestinya jual makanan halal

Lelaki nasihatkan berhati-hati di Hat Yai, peniaga bertudung tak semestinya jual makanan halal

 

Rakyat Malaysia dan destinasi percutian Hat Yai, Thailand bagai sudah tidak dapat dipisahkan, lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah.

Rata-rata teruja untuk menikmati aneka makanan di sana terutamanya hidangan viral sehinggakan ada yang terlupa tentang status halalnya.

Ramai dalam kalangan pengunjung Malaysia beranggapan bahawa makanan yang dijual oleh pekerja yang memakai tudung adalah halal, sedangkan realitinya tidak semestinya begitu.

Di TikTok, Ilham Hamdani menceritakan satu kejadian mengejutkan di Center One Shopping Plaza yang mana ramai pengunjungnya adalah dari Malaysia.

Kisah bermula ketika isteri Ilham yang amat prihatin dengan kebersihan dan status halal makanan bertanya kepada seorang penjual yang berhijab.

Alangkah terkejutnya apabila wanita itu memberitahu bahawa makanan tersebut tidak halal, meskipun dia menutup aurat seperti orang Islam.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam dirinya kerana ramai pengunjung lain mungkin tidak menyedari status halal makanan yang mereka pilih kerana melihat kepada pakaian si peniaga semata-mata.

Kata Ilham, dia pada ketika itu sudah membeli makanan di kedai tersebut.

Malah, anaknya juga membeli makanan berasaskan daging namun mereka tidak makan makanan yang dibeli kerana timbul rasa was-was.

Dalam perkongsian sama, Ilham menasihati agar pelancong tidak mudah terpedaya dengan imej dan penampilan pekerja di kedai-kedai di Hat yai.

Meskipun mereka bertudung dan bekerja di kedai-kedai yang terkenal, tidak semestinya semua makanan yang dijual adalah halal.

Sentiasa berwaspada dan lakukan semakan sebelum menikmati hidangan, agar pengalaman bercuti tidak dicemari dengan keraguan tentang makanan yang dimakan.

Pastikan juga untuk menyemak status halal sebelum membeli, terutamanya ketika melancong di negara yang tidak memenitngkan status halal.