Berambut ‘blonde’, Mas Khan selamba berpakaian seperti wanita sempena Halloween
Sekian lama tidak muncul menyerikan kaca televisyen, pelakon yang dikenali sebagai Mas Khan kini kembali dengan ‘drama’ terbaharunya.
Bukan lakonan dalam drama atau filem tempatan, Mas Khan baru-baru ini mencuri perhatian ramai setelah muncul berpakaian seperti wanita di platform media sosial.
Sempat menyifatkannya sebagai kerja gila, pemilik nama sebenar Mas Hidzir Khan Mas Fadzillah Khan itu mengenakan ‘dress’ berona hitam sebelum keluar dari rumah.
Malah untuk tampil meyakinkan, pelakon berusia 29 tahun itu juga sanggup memakai ‘blonde wig’ atau rambut palsu berwarna perang supaya ‘lakonannya’ menjadi.
Wajah pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu turut disolek dengan gincu, pemerah pipi dan tidak ketinggalan, eye shadow (pembayang mata) untuk kelihatan seperti wanita.
Memuat naik satu rakaman yang dikongsikan di laman Instagram dan juga TikTok miliknya, Mas Khan dengan berseloroh memperkenalkan dirinya sebagai Masyitah.
@therealmaskhan Halloween? Yeap .. that’s me 🍑
“Hai semua, nama saya Mas Khan. Eh, ya Tuhan tersilap. Maaf, nama saya Masyitah. Nak bagitahu dengan kamu semua, kali ini saya buat kerja gila sedikit,” katanya.
Menerusi rakaman yang berdurasi 30 saat itu, Mas Khan turut menampilkan gayanya di hadapan rakan dengan lagak seperti wanita sebelum meletakkan rokok di bibirnya.
Difahamkan, tujuan Mas Khan mengenakan pakaian seperti itu adalah untuk menyambut Halloween, namun tidak dapat dipastikan kostum apa yang dipakainya.
Sekadar info, Halloween kebiasaannya di sambut oleh negara bukan Islam pada 30 Oktober setiap tahun di mana mereka yang merayakannya akan mengenakan kostum.
Menerusi kenyataan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menyambut perayaan Holloween adalah haram bagi masyarakat yang menganut agama Islam.
Berdasarkan kajian sejarah, sambutan untuk memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia ini adalah ‘syiar’ bagi sebahagian penganut agama Kristian.
“Kami tegaskan sekali lagi bahawa hukum menyambut Halloween adalah haram kerana terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam.” Katanya.