Syed Saddiq hantar Bella Astillah tunai umrah

Syed Saddiq hantar Bella Astillah tunai umrah

 

Syed Saddiq hantar Bella Astillah tunai umrah

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah berangkat menunaikan umrah, berdasarkan maklumat dikongsi jenama fesyen, PrimaValet melalui hantaran Instagram (IG), awal pagi tadi.

Video dipaparkan menunjukkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mengiringi Bella di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, bagi menghantar pelakon dan penyanyi popular itu berangkat ke Tanah Suci.

Pasangan yang menjadi wajah kempen PrimaValet itu turut dipapar bergambar dengan anggota keselamatan di KLIA, dalam hantaran berkenaan.

Antara lain, keterangan pada hantaran dimuat naik PrimaValet mendoakan agar Bella mendapat umrah mabrur.

“Semoga Bella mendapat umrah yang mabrur. Alhamdulillah rezeki ramai yang sayang dan doakan Bella,” katanya.

Hantaran yang dimuat naik kira-kira tiga jam lalu itu, mendapat hampir 20,000 tanda ‘likes’ sehingga jam7 pagi tadi.

Sejak akhir-akhir ini, Bella dan Syed Saddiq dilihat banyak meluangkan masa bersama selepas menjadi duta jenama pakaian PrimaValet, malah, mereka dilapor menawan puncak Gunung Kinabalu di Sabah, Januari lalu.

Syed Saddiq juga pernah muncul dalam muzik video lagu nyanyian Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu.

Bella pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz pada 9 September 2016. Namun, mereka dilapor bercerai pada 13 Jun tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 8, dan Ara Adreanna, 5.