Lelaki jadi jutawan dengan beli 200 rumah buruk

Lelaki jadi jutawan dengan beli 200 rumah buruk

 

Lelaki jadi jutawan dengan beli 200 rumah buruk

Lelaki Jepun ini menarik perhatian apabila memperoleh 140 juta yen (kira-kira RM4.01 juta) dengan menyewakan 200 rumah buruk yang dibelinya.

Hayato Kawamura, 38, dari Osaka di pulau Honshu, terpesona dengan rumah sejak kecil, menurut syarikat hartanah Jepun, Rakumachi.

Dia suka menonton pelbagai rumah di bandar itu dari dek pemerhatian di puncak gunung semasa dia masih kecil.

Selama belajar di bangku sekolah, Kawamura mengembangkan minat tentang hartanah, malah menjadikan lawatan hartanah sebagai sebahagian daripada janji temu dengan teman wanitanya.

Walaupun dia tidak mampu membeli rumah ketika itu, dia menghabiskan masa lapangnya dengan belajar tentang hartanah.

Selepas menamatkan pengajian, Kawamura bekerja di sebuah syarikat penyewaan hartanah.

Namun, selepas orang atasannya diturunkan pangkat selepas pertikaian dengan pengurusan kanan, dia merasakan risiko bekerja untuk orang lain, malah menyedari gajinya tidak menggambarkan kerja kerasnya dan tekanan kerja terlalu banyak.

“Saya mahukan pendapatan yang membolehkan saya hidup tanpa bergantung kepada gaji saya.

“Saya tidak pernah menjangkakan untuk menjadi kaya dalam sekelip mata.

“Pelaburan hartanah adalah permainan jangka panjang yang memerlukan kesabaran dan perhatian teliti,” katanya.

Menurut Kawamura, dia mula menyimpan wang dan berazam untuk menjadi tuan tanah.

Katanya, dia membeli flat yang dilelong dengan harga 1.7 juta yen (kira-kira RM48,000) pada usianya 23 tahun, dan selepas memperoleh 340,000 yen (kira-kira RM9,741) setahun dalam sewa, dia menjualnya enam tahun kemudian dengan harga 4.3 juta yen (RM123,000).

“Saya kemudian menyasarkan rumah usang di kawasan terpencil, kebanyakannya berharga bawah satu juta yen (kira-kira RM28,652).

“Saya membeli beberapa hartanah yang tidak biasa termasuk yang dipenuhi dengan haiwan terbiar mati atau yang bocor semasa hujan kerana bumbung hilang.

“Saya melihat hartanah terbiar ini sebagai peluang untuk meminimumkan kos apabila hanya melabur sedikit dalam pengubahsuaian sebelum boleh menyewakannya dengan cepat untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Kawamura berkata, dia juga mahir dalam membina hubungan yang kukuh dengan ejen hartanah, yang memastikan dia mendapat maklumat hartanah terbaik dengan segera.

“Pada 2018, saya meninggalkan syarikat asalnya untuk memulakan syarikat hartanah sendiri, Merryhome.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya berjaya membeli 200 rumah usang sekali gus dapat menjana lebih 140 juta yen (kira-kira RM4.01 juta) dalam pendapatan sewa.

“Semua itu saya peroleh menerusi pembiayaannya melalui gabungan simpanan, pinjaman dan keuntungan sewa syarikat saya,” katan,ya.

Kisah lelaki ini membina kekayaan turut mendapat pujian di media sosial dengan ramai netizen kagum dengan semangatnya.