“Belakang sakit, tak boleh berdiri lama ” – Pakcik OKU ubah suai bonet kereta jadi gerai burger raih perhatian

“Belakang sakit, tak boleh berdiri lama ” – Pakcik OKU ubah suai bonet kereta jadi gerai burger raih perhatian

 

Zaman sekarang selain daripada berniaga, ramai memilih untuk membeli kerana keunikan sesuatu benda, tidak kira produk atau tempat menjualnya.

Tular satu gambar seorang lelaki yang menggunakan bahagian belakang kenderaan sebagai tempat untuk membuka gerai bagi menjual burger.

Pengguna Facebook, Abu Cari Makan berkongsi mengenai seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) membuka kedai burger unik.

Di bahagian belakang kenderaan tersebut dilihat ia diubah suai sebagai stesen untuk menyiapkan burger yang sudah dimasak manakala dapur diletakkan di luar kenderaan.

“Masa pergi Bank Islam Bandar Sri Permaisuri semalam ternampak pak cik ni jual burger, menariknya dia dah ubah suai belakang kereta dia jadi gerai burger.

“Senang tak perlu nak angkut banyak barang keluar cuma meja kecil dan dapur sahaja dekat luar.

“Kata pakcik ni dia dah lama meniaga cuma sekarang dia OKU, belakang dia sakit jadi tak boleh berdiri lama.

“Boleh nampak la pergerakan dia pun terbatas, susah sikit nak bergerak,” ujarnya dalam hantaran tersebut.

Pengguna Facebook tersebut turut berkongsi tekstur daging yang dilihat empuk walaupun di masak dalam keadaan begitu.

“Pakcik ni masak daging dia ada letak serbuk warna merah mungkin serbuk paprika dan ada letak sos Lea & Perrins.

“Cara dia masak pakcik tu cakap sekejap je tak terlebih masak supaya texture daging tu kekal lembut, sayur pula dia ada letak Capsicum ada salad, timun dan tomato.

“Sos dia pun agak rare jarang orang guna untuk burger,” tambahnya.

Rata-rata netizen memuji lelaki tersebut yang berusaha mencari rezeki yang halal disamping kekal memastikan kawasan menjual bersih.

“Kemas bersih teratur, Nampak premium sangat. Semoga pakcik ni dikembalikan kesihatan semula.

“Jarang ada peniaga yang ambil hati untuk membuat makanan dia lebih baik dan sedap. Harap dia akan menerima sambutan yang baik.

“Sediakan alat pemadam api, takut ada kebocoran petrol dan lain-lain. Semoga berjaya,” antara komen netizen.