Pemilik hotel atau inap desa bebas tetapkan waktu ‘check-in, check-out’

Pemilik hotel atau inap desa bebas tetapkan waktu ‘check-in, check-out’

 

Baru-baru ini, kecoh diperkatakan di media sosial mengenai waktu daftar masuk (check in) dan keluar (check out) segelintir hotel yang ada di Malaysia.

Segalanya bermula apabila seorang pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dengan penetapan waktu daftar yang ditetapkan beberapa hotel dengan penetapan waktu daftar masuk iaitu bermula jam 4 petang manakala check out sebelum jam 11.00 pagi.

Penetapan waktu tersebut disifatkan agak melampau kerana pengguna hanya dapat duduk di hotel dalam masa yang singkat sedangkan bayaran yang dibuat bagi sebuah bilik agak mahal.

Malah, pengguna terbabit turut meminta agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan berhubung isu ini bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Terbaharu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menjelaskan pemilik hotel atau inap desa bebas menetapkan waktu daftar masuk dan keluar premis mengikut kesesuaian dan kemampuan perniagaan masing-masing.

Jelasnya, penetapan tersebut tidak termaktub dalam sebarang undang-undang perhotelan dan ia merupakan polisi syarikat yang perlu dipatuhi pelanggan.

“Waktu daftar masuk dan keluar bergantung kepada peraturan dalaman serta polisi ditetapkan oleh setiap hotel,” katanya.

Tambah Dr Sri Ganesh lagi, ada situasi yang menyebabkan pihak hotel terpaksa menangguhkan waktu daftar masuk.

“Walaupun waktu daftar masuk yang biasa sekitar jam 2 petang, ada keadaan hotel terpaksa menangguhkan sehingga jam 4 petang atau lebih lewat kerana kekangan tertentu seperti bilik penuh atau kekurangan pekerja.

“Apabila hotel penuh, mereka memerlukan lebih masa untuk mengemas bilik dan menyebabkan kelewatan dalam proses daftar,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Pada masa yang sama, Dr Sri Ganesh berpendapat masalah operasi seperti kekurangan pekerja menjadi antara punca kelewatan daftar masuk hingga menimbulkan rasa tidak puas hati pelanggan khususnya apabila waktu pendaftaran mereka ditangguhkan.

“Disebabkan kekurangan pekerja, proses mengemas bilik mengambil masa lebih lama dan ia menjejaskan keberkesanan operasi hotel. Sebab itu, mereka ubah polisi hotel supaya sesuai dengan keadaan semasa.

“Harga jualan dalam talian juga semakin murah, selain tiada kawal selia menyebabkan keuntungan hotel menurun. Apabila hotel tiada untung, bagaimana nak ambil ramai pekerja,” jelasnya.