Degil enggan berpindah, bayi usia setahun lemas dalam rumah dinaiki air ketika ibu sedang tidur
Degil enggan berpindah, bayi usia setahun lemas dalam rumah dinaiki air ketika ibu sedang tidur
Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam air di rumahnya di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat, Tumpat, Khamis lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 malam Khamis itu, ibu mangsa berusia 41 tahun tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sisi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ibu mangsa mencari anaknya di bilik namun tiada sebelum melihat anaknya dalam keadaan terapung dalam air banjir di tingkat bawah rumahnya.
Katanya, mangsa kemudian meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya keluar dengan menggunakan perahu ke hospital sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
“Rumah mangsa adalah dua tingkat dan sebaik air sudah memasuki kawasan dalam rumah, keluarga berkenaan tidak berpindah sebaliknya hanya berlindung di tingkat atas.
“Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak kejadian buruk berlaku.
“Disebabkan kedegilan ibu bapa, bayi berusia setahun jadi mangsa. Kematian bayi ini adalah mangsa banjir ketiga di Kelantan selepas di Pasir Puteh dan Machang,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan semua penduduk supaya terus berpindah sekiranya air mula naik di halaman rumah dan jangan menunggu ketika air sudah di tahap bahaya.