“Mereka buat nyawa anak saya seperti mainan” – Bayi demam diserang sawan didakwa dibiarkan menunggu 11 jam

“Mereka buat nyawa anak saya seperti mainan” – Bayi demam diserang sawan didakwa dibiarkan menunggu 11 jam

 

“Mereka buat nyawa anak saya seperti mainan” – Bayi demam diserang sawan didakwa dibiarkan menunggu 11 jam

“Masa itu, Allah saja tahu macam nak gugur jantung saya. Anak kena sawan atas pangkuan saya, suami pula tiada kerana bekerja di Terengganu,” luah Siti Aishah Rahim, 27, yang mendakwa terpaksa menunggu hampir 11 jam untuk membolehkan anak berusia 22 bulan mendapat rawatan kecemasan di Hospital Melaka.

Dakwanya, pada 2.30 petang Sabtu lalu, dia bersama ibu membawa anaknya, Siti Farha Adelia Mohd Firdaus ke Jabatan Kecemasan dan Trauma selepas suhu badan anaknya semakin panas dan sebaik tiba, jururawat hanya mengambil darah.

Katanya, tiada tindakan lanjut didakwa diambil selepas itu sehingga suhu badan anaknya mencecah 40 darjah Celsius.

“Saya tidak kisah kalau ada maklum balas, tapi tiada seorang misi (jururawat) atau pembantu lain datang melihat keadaan atau tanya keadaan anak saya mahupun periksa suhu badannya.

“Mujur saya ada bawa alat pengesan suhu dari rumah dan periksa sendiri. Bila suhu tinggi, saya bawa ke tandas dan basahkan badan anak, berulang kali sementara tunggu dipanggil untuk rawatan di bilik kecemasan,” katanya ketika dihubungi.

Siti Aishah mendakwa berulang kali bertanya kepada petugas mengenai rawatan, namun diminta menunggu sehingga anaknya diserang sawan dan mengalami kekejangan kira-kira 1 pagi keesokan harinya.

“Ketika itu barulah anak saya dipindahkan ke zon kuning. Saya sangat terkilan… mereka buat nyawa anak saya seperti mainan,” katanya.

Wanita itu turut mendakwa, layanan diterima ketika di zon hijau seolah-olah sambil lewa dan tidak sensitif terhadap keadaan anaknya yang kini disahkan dijangkiti adenovirus, sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan, mata dan saluran penghadaman.

“Anak saya masih belum lagi betul-betul sihat dan tidak aktif macam selalu kerana jangkitan virus dan diberi rawatan antibiotik.

“Pihak pengurusan Hospital Melaka termasuk pengarah kesihatan ada datang melawat pagi tadi dan bertanya apa yang berlaku.

“Mereka minta maaf serta berjanji akan siasat kejadian ini dan saya juga menunggu surat berhubung aduan ini,” katanya yang berkongsi kenyataan dan video berkaitan di Facebook.

Menurutnya, perkongsian di media sosial itu semata-mata untuk kesedaran dan enggan perkara sama berlaku ke atas orang lain.

Dalam perkembangan sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, mengambil maklum kes itu dan sudah mengarahkan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka untuk menjalankan siasatan segera.

Beliau yang kini berada di Pekan Baru, Indonesia atas lawatan kerja menunggu laporan penuh siasatan kes dan meminta semua pihak agar tidak membuat kesimpulan melulu.

“Tadi saya pun sudah hubungi Pengarah Kesihatan Negeri (Dr Ruzita Mustaffa) untuk buat siasatan segera.

“Perkara ini belum disiasat lagi, jadi kita pun tak tahu apa puncanya (sebenar). Apa-apa saya akan maklum pada media nanti selepas siasatan (selesai),” katanya menerusi WhatsApp.